31 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Gagasan politik Mahathir: Siapa untung, siapa buntung?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

TAHNIAH kepada Tun Mahathir kerana berjaya menubuhkan gabungan parti-parti Melayu dan Islam terbaharu yang dinamakan Gerakan Tanah Air (GTA).

Berdasarkan kenyataan bekas Perdana Menteri itu, GTA yang dianggotai Pejuang, Putra dan Berjasa mahu bertanding 120 kerusi dengan matlamat mahu menumbangkan UMNO.

Sebelum ini gabungan parti Pakatan Harapan (DAP, PKR dan Amanah) serta Perikatan Nasional (Bersatu, Pas, STAR dan SAPP) juga mempunyai matlamat sama — mahu menumbangkan UMNO dan BN.

Ini bermakna dalam PRU akan datang UMNO/BN bukan sahaja bakal berdepan dua penjuru, daripada PN dan PH tetapi ditambah satu lagi iaitu GTA.

Bak kata Ketua Pemuda UMNO, ROS patut segera meluluskan GTA ini sebagai meraikan demokrasi dan pada masa yang sama ia sebetulnya berita baik kepada UMNO/BN.

Kenapa penubuhan GTA berita gembira bagi UMNO/BN? Sebabnya semakin banyak lawan yang akan menentang mereka dalam PRU, peluang parti itu untuk menang semakin cerah.

Bukti sudah jelas dan nyata dalam dua pilihan raya negeri (PRN) iaitu di Melaka dan lebih-lebih lagi di Johor. Apabila berlaku pertembungan banyak penjuru, sebetulnya ia memberi kelebihan kepada UMNO/BN untuk memenanginya.

Perkara itu diakui sendiri oleh Muhyiddin Yassin. Sebab itulah Muhyiddin telah menggerakkan usaha kerjasama antara parti-parti bukan BN bagi menghadapi PRU-15.

Ini bagi memastikan tidak ada pertembungan lebih banyak penjuru kerana ia akan memberi kelebihan kepada UMNO dan BN.

Umum mengetahui bahawa UMNO dan BN mempunyai sokongan akar umbi yang kuat terutama di kawasan luar bandar dan mereka bakal memberikan undi kepada parti itu.

Manakala parti-parti lawan baik PH, PN mahupun terbaharu GTA, terpaksa berebut pengundi yang sama, pengundi yang menolak UMNO/BN atau pengundi atas pagar.

Nak harapkan sokongan daripada ahli-ahli sendiri tidak mencukupi kecuali Pas, PKR dan DAP yang dilihat mempunyai sokongan akar umbi yang besar. Itupun tidak menyeluruh, dan hanya tertumpu di negeri-negeri tertentu.

Keadaan ini memberi kelebihan kepada UMNO dan BN manakala undi untuk parti bukan UMNO/BN akan berpecah… bukan satu, bukan dua bahkan akan menjadi tiga. Itu belum mengambil kira penyertaan calon-calon bebas.

Tidak hairanlah sekiranya UMNO mengalu-alukan lebih banyak gabungan parti-parti Melayu/Islam kerana ia sebetulnya memberi kelebihan kepada parti itu.

Namun, negatifnya kita akan melihat orang Melayu dan Islam semakin berpecah-belah. Dan mungkin itulah tujuan GTA ditubuhkan? Entahlah…

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan