29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Felcra jadi pengeluar benih asas padi wangi MRQ76

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

FELCRA Berhad melalui anak syarikatnya FELCRA Plantation diberi kepercayaan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk menjadi pengeluar benih asas padi wangi MRQ76.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata FELCRA diberi peranan utama dalam memastikan kualiti dan kuantiti benih asas padi wangi MRQ76 sentiasa terjamin dan mencukupi bagi tujuan penanaman padi wangi berskala besar di bawah program SMART Sawah Berskala Besar (SBB).

“Kerjasama pintar di antara pihak MAFI dan FGV dalam program SMART SBB ini telah terbukti mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi sehingga satu tan metrik sehektar sekaligus meningkatkan hasil pendapatan pesawah dengan harga jualan padi RM1,540 per  tan metrik berbanding RM1,260 per tan metrik untuk varieti padi putih.

“Benih asas padi itu nanti akan dikomersialkan oleh FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Laman Padi, MAFI, di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengerusi Padiberas Nasional Berhad (Bernas), Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, MAFI, Azman Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria.

Mahdzir mendengar taklimat semasa membuat lawatan ke Laman Padi, MAFI, di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 hari ini.

Jelas Mahdzir, program SMART SBB telah terbukti berjaya meningkatkan hasil pengeluaran padi khususnya di kawasan penanaman padi di bawah pengurusan FELCRA Berhad di Seberang Perak dan Barat Laut Selangor.
 
Seiring dengan revolusi perindustrian keempat 4.0, FELCRA kata Mahdzir, telah membuat perubahan dalam pengurusan tanaman padi melalui penggunaan aplikasi teknologi seperti dron.

“Sejumlah RM1.8 juta telah diperuntukkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk pembangunan teknologi dron di estet FELCRA.

“Ia bertujuan bagi menggalakkan dan menarik minat golongan muda khususnya anak peserta FELCRA untuk menceburi industri padi sekaligus menyediakan peluang pekerjaan baru di kawasan terbabit.

“FELCRA turut mempunyai kepakaran dalam melaksakan kerja-kerja kajian profil tanah bagi membantu pesawah mengenal pasti nutrien tanah dan tahap kesuburan tanah.

“Perkara ini penting dalam memastikan rawatan tanah dapat dilaksanakan secara efisyen dan efektif,”katanya.
 
Selain itu Mahdzir berkata, FELCRA turut menjalin kerjasama dengan syarikat swasta bagi menghasilkan produk beras putih menggunakan jenama sendiri sebagai menyokong Dasar Jaminan Keselamatan Makanan Negara.
 
“Tahun ini, KPLB telah menyediakan peruntukan sebanyak RM12 juta kepada FELCRA bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf untuk menambahbaik infrastruktur ladang.

“Ini selaras dengan evolusi industri padi dan beras negara bagi menjamin keselamatan bekalan negara,”katanya.-Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan