Tuesday, July 21, 2026

Hapus budaya ‘silo’, tingkat sinergi antara agensi – Zahid

Mesti Baca

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggesa agensi-agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menghapus budaya ‘silo’, sebaliknya membina bersinergi di antara mereka dalam memacu ekosistem pembangunan luar bandar yang lebih holistik.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, langkah itu bagi mendepani cabaran akibat kekangan sumber dan kemajuan teknologi melalui Rangka Kerja Kolaboratif yang menumpukan kepada perkongsian sumber, pengetahuan, dan kepakaran untuk mencapai hasil yang optimum.

Beliau berkata, dalam konteks pembangunan desa contohnya, setiap agensi di bawah KKDW mempunyai peranan yang unik tetapi saling melengkapi. 

“FELCRA berperanan dalam pembangunan tanah dan pertanian luar bandar, MARA melahirkan usahawan dan melaksanakan agenda pendidikan, JAKOA dalam memperkasakan masyarakat Orang Asli, dan RISDA dalam membangunkan pekebun kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulan Oktober KKDW di Wisma FELCRA Berhad, Kuala Lumpur.

Hadir sama Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang,Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Pengerusi FELCRA Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Datuk Idris Lasim.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengambil contoh FELCRA Berhad yang telah berkerjasama dengan JAKOA bagi membangunkan 52 buah projek rancangan orang asli (ROA), dengan keluasan hampir 6,800 hektar yang memberi manafaat kepada hampir 2,100 peserta orang asli.

Dalam pada itu, beliau menggesa penggunaan Dashboard Komuniti Desa juga dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi membolehkan akses kepada maklumat pertanian, pendidikan, latihan keusahawanan, dan bantuan dapat dipercepatkan dan diperkasakan.

“Dashboard ini juga dapat membantu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) supaya lebih efisien dalam mengurus tadbir kampung.

Beliau turut menyarankan jalinan kerjasama dengan pihak swasta melalui cadangan awal seperti bootcamp literasi digital intensif melalui KEMAS, kerjasama dengan syarikat pelancongan untuk mempromosi pelancongan desa yang menonjolkan tradisi tempatan, kraftangan, dan eko-pelancongan. 

Selain pemasaean inap desa atau rumah-rumah kampung yang sedia ada untuk menarik lebih ramai pengunjung ke perkampungan desa perlu dilaksanakan.

“Dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu ini, setiap agensi di bawah KKDW juga perlu mengorak langkah ke arah kemandirian dengan menjana pendapatan sendiri supaya tidak bergantung kepada peruntukan kerajaan,” katanya.

Perhimpunan kali ini juga menyaksikan 20 pegawai KKDW termasuk Ketua Setiausaha KKDW menerima Watikah dan Pemakaian pangkat Pegawai Kehormat dan Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. 

Selain itu, turut diadakan ialah penyampaian Anugerah Pekerja Madani kepada sembilan kakitangan KKDW yang terpilih bagi menghargai sumbangan dan pencapaian mereka. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan