25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 8, 2024

Lima kilang FELCRA beroperasi seperti biasa, tiada dijual – CEO

Mesti Baca

LIMA kilang memproses sawit milik penuh dan diuruskendalikan FELCRA Berhad masih beroperasi seperti biasa dan tiada satupun yang dijual sehingga kini.

Lima kilang terbabit ialah Kilang Sawit Seberang Perak dan Kilang Sawit FELCRA Nasaruddin di Perak, Kilang Sawit Sungai Melikai dan Kilang Sawit Bukit Kepong di Johor serta Kilang Sawit Maran di Pahang.

Malahan menurut Ketua Pegawai Elsekutifnya, Datuk Idris Lasim, pihaknya juga tidak menerima sebarang cadangan penjualan dikemukakan kepada Lembaga Pengarah untuk diluluskan.

“Pengurusan FELCRA Berhad turut menafikan sebarang dakwaan di media sosial yang mengaitkan Pengerusi FELCRA , Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dengan penjualan kilang kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, FELCRA Berhad adalah syarikat korporat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan berada di bawah penyeliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Katanya, aktiviti utama FELCRA Berhad dalam perniagaan berfokus kepada pembangunan luar bandar iaitu perladangan melalui program penyatuan dan pemulihan tanah (P&P).

“Selepas 27 tahun dikorporatkan, ia telah berjaya mengagihkan melebihi RM8.11 billion agihan keuntungan kepada hampir 107,000

orang peserta di seluruh Malaysia.

“Selain itu, FELCRA Berhad turut membangunkan tanah secara komersil serta menceburi bidang agromakanan,” katanya.

Advertisements

FELCRA Berhad, tambah beliau, turut terlibat menjalankan operasi perkilangan dan kejuruteraan, termasuk pengoperasian kilang pemprosesan kelapa sawit.

“FELCRA Berhad akan terus memberikan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memastikan bahawa kepentingan semua pihak yang terlibat sentiasa diutamakan.

“Ini demi memperkukuhkan kedudukan FELCRA Berhad dalam industri pengilangan hasil agrikomoditi seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

Sebelum ini Pengerusi Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard mendesak Ahmad Jazlan membuat penjelasan berhubung penjualan kilang sawit yang merugikan FELCRA.

Dakwanya, ia rentetan beberapa sumber sejak hampir sebulan lalu tampil berjumpa dengannya dan menyerahkan beberapa set dokumen berkenaan penjualan kilang FELCRA.

Ekoran itu, Ahmad Jazlan menafikan dakwaan itu dan menegaskan tidak pernah menjual kilang agensi berkenaan kepada mana-mana pihak termasuk bukan Bumiputera seperti didakwa.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, dakwaan pihak yang digelar sebagai ‘askar upahan’ pihak pembangkang itu adalah fitnah yang amat besar terhadap dirinya.

Beliau mencabar pihak berkenaan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar siasatan dapat dilakukan.

Ahmad Jazlan juga merupakan Pengurus Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang akan dilangsungkan 17 Ogos ini. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Mahkota: BN sekali lagi pertaruh calon Pemuda 

BARISAN Nasional (BN) sekali lagi menpertaruhkan wakil Pemuda UMNO sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri...

Lagi Artikel Berkaitan