FELCRA Berhad mencatatkan pencapaian cemerlang apabila merekodkan Keuntungan Boleh Agih sebanyak RM521.9 juta pada tahun lalu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 138.4 peratus atau RM302.9 juta berbanding tahun sebelumnya.
“Kejayaan ini membuktikan keberkesanan strategi FELCRA dalam memastikan peserta mendapat manfaat maksimum daripada pembangunan sektor luar bandar,” katanya.
Zahid mengumumkan perkara itu pada majlis Santunan Kasih Ramadan di Kuala Berang, Hulu Terengganu hari ini.
Hadir sama Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi Majlis Penasihat GiatMARA Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan Bayaran Keuntungan Boleh Agih bagi 2024 berjumlah RM192.5 juta yang akan disalur secara berperingkat mulai hari ini.
Beliau berkata, pembayaran tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 68,400 peserta selurh Malaysia, merangkumi 583 projek yang mencatatkan keuntungan.
Sementara itu, FELCRA dalam kenyataan berkata, dengan peningkatan tersebut, purata pendapatan bersih setahun seorang peserta meningkat kepada RM4,420 per hektar, sekali gus memperkukuh kestabilan ekonomi masyarakat luar bandar.
“Kejayaan ini didorong oleh beberapa faktor utama, termasuk peningkatan hasil ladang kelapa sawit dalam Program Penyatuan dan Pemulihan (P&P), yang mencatat peningkatan 9.24 peratus atau 1.44 metrik tan per hektar.
“Selain itu, pelaksanaan strategi penjimatan kos pengeluaran turut menyumbang kepada kejayaan ini, dengan pengurangan kos lebih RM401 per hektar, sekali gus meningkatkan keuntungan boleh agih kepada peserta,” katanya.
Katanya, matlamat FELCRA adalah untuk memastikan setiap peserta menerima agihan keuntungan minimum RM150 setiap ekar setiap bulan, atau RM1,800 setiap ekar setahun sebagai jaminan kesejahteraan kepada peserta.
Dengan sokongan kukuh daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta pendekatan strategik yang lebih mampan, FELCRA optimis dalam mencapai sasaran lebih tinggi bagi tahun-tahun mendatang selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa sektor luar bandar. – Edisi 9

