DATUK Seri Ahmad Jazlan Yaakub sekali lagi diberi kepercayaan menerajui FELCRA Berhad selepas dilantik semula sebagai Pengerusi agensi itu berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pelantikan itu menandakan kesinambungan kepimpinan yang telah terbukti berjaya membawa FELCRA ke tahap lebih tinggi, seiring aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkasa ekonomi dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
“Di bawah kepimpinan Ahmad Jazlan, FELCRA mencatatkan kejayaan cemerlang apabila merekodkan Keuntungan Boleh Agih sebanyak RM192.51 juta bagi tahun 2024 iaitu peningkatan 154 peratus atau RM116 juta berbanding tahun sebelumnya.
“Lebih 68,000 peserta FELCRA di seluruh negara menikmati manfaat daripada prestasi itu melalui 583 projek penyatuan dan pemulihan tanah (P&P), selain peningkatan hasil sawit sebanyak 9.24 peratus dan penjimatan kos operasi RM401 bagi setiap hektar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, FELCRA turut memperkukuh kedudukan sebagai peneraju pembangunan luar bandar berdaya maju menerusi pelbagai projek strategik termasuk pembinaan Loji Biogas FELCRA Jayaputra di Jerantut, Pahang yang berkapasiti 5.5 megawatt (MW), diiktiraf sebagai loji biogas FELCRA terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book of Records.
Loji itu kini membekalkan tenaga bersih kepada lebih 300,000 penduduk luar bandar sekaligus menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui negara.
FELCRA juga terus proaktif melaksanakan 10 inisiatif keterjaminan makanan bagi memperkukuh jaminan makanan negara termasuk peluasan penanaman kelapa sawit, padi, nanas MD2, pembangunan kilang makanan ternakan serta penternakan lembu dan ayam secara moden.
Projek Ternakan Ayam Pedaging Tertutup di Tanjung Seratus, Rompin misalnya, mampu menghasilkan 1.5 juta ekor ayam setahun, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan masyarakat desa.
Mengulas pelantikan semula beliau, Ahmad Jazlan menegaskan bahawa tanggungjawab yang dipikul bukan satu keistimewaan, tetapi amanah untuk terus berkhidmat kepada rakyat luar bandar.
“Pelantikan ini merupakan amanah untuk meneruskan khidmat. Saya tidak akan berlengah untuk terus bekerja demi mengangkat FELCRA dan masyarakat luar bandar, selaras dengan kepercayaan yang diberikan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan KKDW,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu.
Tambah beliau, FELCRA akan terus memberi fokus kepada inovasi teknologi pertanian, tenaga hijau dan pembangunan komuniti bagi memastikan kemakmuran yang inklusif serta mampan. — Edisi 9

