PEMUDA UMNO melahirkan rasa kebimbangan berhubung krisis keyakinan terhadap pendidikan negara yang semakin meruncing melibatkan isu disiplin serta bebanan tugas guru.
Malahan pergerakan itu juga bimbang dengan jurang kualiti antara bandar dan luar bandar serta kegagalan sistem membina nilai dan jati diri bangsa.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO akan menganjurkan satu forum Meja Bulat Pendidikan Nasional yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan.
Katanya, ini termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ahli akademik, NGO pendidikan serta wakil pelajar bagi merangka solusi komprehensif terhadap krisis ini.
Pergerakan itu berkata, forum tersebut akan menumpukan kepada empat teras utama iaitu memulihkan autoriti dan maruah guru serta menilai semula silibus agar seimbang antara akademik, nilai dan kemahiran hidup.
Selain itu, forum itu juga akan mencari kaedah menangani disiplin dan emosi pelajar serta mencari pendekatan paling sesuai serta menstruktur semula sistem pentaksiran dan beban birokrasi sekolah.
“Pemuda UMNO percaya bahawa pendidikan bukan sekadar soal akademik tetapi pembentukan bangsa dan nilai.
“Generasi muda mesti dilatih untuk berfikir, beradab dan berjiwa besar, bukan hanya lulus peperiksaan,” kata kenyataan itu.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malaysia yang dipengerusikan oleh Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Pemuda UMNO menyambut baik Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.
Katanya, secara prinsip ya Penuda UMNO menyambut baik langkah-langkah yang memberi manfaat langsung kepada golongan muda.
Antaranya dan RM3 bilion HRD Corp untuk latihan kemahiran berteknologi tinggi dan digital dan latihan GiatMARA kepada 13,000 peserta muda dari golongan berpendapatan rendah.
“Namun begitu, Pemuda UMNO berpandangan bahawa beberapa aspek masih perlu diperhalusi, termasuk isu harga rumah bandar yang terus meningkat, serta had pendapatan isi rumah untuk kelayakan pinjaman pendidikan percuma PTPTN yang masih terlalu rendah,” katanya.
Justeru, katanya, Pemuda UMNO akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang menyokong dasar yang baik, namun tetap berani menegur perkara yang boleh diperbaiki demi masa depan generasi muda. — Edisi 9

