25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Semua pihak perlu komited selamatkan Harimau Malaya

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEMANGKU Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyeru semua pihak supaya terus komited dan bersungguh-sungguh menyelamatkan Harimau Malaya yang kini berada di ambang kepupusan.

Baginda bertitah, selain tindakan pihak kerajaan, golongan belia juga boleh memainkan peranan dengan memanfaatkan teknologi maklumat untuk mendidik kepentingan harimau dan habitatnya kepada ekosistem hutan serta ancaman dihadapi haiwan itu.

Menurut Tengku Hassanal, agensi kerajaan perlu tegas dalam melindungi hidupan liar dan habitatnya kerana undang-undang tegas bagi melindungi hidupan liar dan kawasan hutan tidak bermakna dan tidak boleh mengekang sindiket pemburu haram jika tiada penguatkuasaan sewajarnya dilakukan.

“Sekiranya kita dapat bekerjasama untuk memastikan kesinambungan populasi Harimau Malaya, bukan hanya populasi haiwan ini akan bertambah, malah kita sebenarnya juga berjaya melindungi hutan yang banyak menyimpan khazanah biodiversiti dan fungsi ekosistem yang penting, lebih-lebih lagi di Pahang.

“Pahang mempunyai keluasan hutan yang besar iaitu kira-kira 57 peratus daripada keluasan negeri. Saya juga telah bertitah agar kerajaan negeri saya dapat meningkatkan keluasan hutan setiap tahun,” titah Tengku Hassanal menerusi kenyataan sempena Hari Harimau Sedunia hari ini.

Menerusi kenyataan itu, Tengku Hassanal juga menyentuh usaha pemuliharaan Harimau Malaya di Pahang menerusi titah baginda, antaranya penubuhan Jawatankuasa Hidupan Liar Pahang di bawah Majlis Biodiversiti Negeri Pahang yang mengetuai usaha bersepadu memerangi pemburuan haram di negeri ini.

Selain itu, kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ juga telah membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu pemuliharaan spesies tersebut, yang selari dengan usaha Pasukan Petugas Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (MyTTF).

Tengku Hassanal juga optimis bahawa usaha pemuliharaan yang dilakukan dapat meningkatkan populasi Harimau Malaya, mengambil contoh kejayaan negara seperti Nepal, India, Bhutan, China dan Rusia selepas usaha pemuliharaan dilakukan dengan giat menerusi kerjasama cekap semua pihak.


— BERNAMA

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan