25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

RuralStar mudahkan kesalinghubungan komuniti terpencil – PM

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

PELANCARAN RuralStar, sebuah peranti infrastruktur rangkaian teknologi  telekomunikasi terkini, amat penting dalam memudahkan kesalinghubungan kepada komuniti yang sukar dijangkau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata RuralStar, yang dibangunkan oleh Huawei Malaysia, dapat menghubungkan kawasan yang bukan hanya terpencil malah tidak memiliki infrastruktur komunikasi lengkap.

“RuralStar merupakan teknologi pemangkin yang boleh membantu Keluarga Malaysia meningkatkan taraf kehidupan seharian dan seterusnya meningkatkan jejak digital mereka.

“Melalui teknologi seperti RuralStar, kemahiran digital dalam setiap lapisan masyarakat dapat dipupuk dan disemai agar tenaga kerja kita pada masa hadapan mempunyai daya saing yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Huawei RuralStar Pro dan penyerahan Huawei MatePad kepada pelajar daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang hari ini.

Turut hadir Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Michael Yuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Datuk Idham Nawawi.

Dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat, Perdana Menteri berkata kerajaan tetap fokus kepada matlamat utamanya iaitu merapatkan jurang digital dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha membawa arus kemajuan ke semua peringkat masyarakat bersesuaian dengan prinsip Keluarga Malaysia agar tiada sesiapapun tertinggal daripada menikmati peluang kemakmuran bersama secara lebih inklusif dan saksama.

“Kesalinghubungan atau ketersambungan digital yang menyeluruh di segenap lapisan masyarakat menjadi objektif utama dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

Advertisements

Mengambil contoh pelancaran satelit MEASAT 3-d baru-baru ini, Ismail Sabri berharap keupayaan capaian Internet di kawasan bandar dan luar bandar akan lebih ditingkatkan.

Selain itu, beliau berkata pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA pula bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk dan liputan 5G yang lebih luas serta jalur lebar tetap kepada sembilan juta premis menjelang tahun 2025.

Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada Huawei Malaysia kerana membantu kerajaan mempercepat transformasi digital dan mengukuhkan pembangunan inovasi di negara ini.

Beliau berkata Huawei Customer Solution Innovation Center yang berpusat di Kuala Lumpur telah mempamerkan pelbagai aplikasi, peranti dan perisian moden yang banyak membantu industri di Malaysia menjadi lebih tangkas dan fleksibel dalam era mencabar ketika ini.

“Saya berasa sukacita kerana kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta seperti ini dapat menggalakkan pendidikan digital sekali gus membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.

“Insya-Allah, kita akan berjaya mengatasi sebarang kesukaran dan cabaran dengan mengekalkan perpaduan dan kerjasama yang erat. Marilah kita bersama-sama berusaha menjana kemakmuran masa depan yang lebih inklusif dan lestari,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 200 tablet jenama Huawei beserta kad SIM Celcom diserahkan kepada pelajar di Bera yang memerlukan bantuan.

— BERNAMA

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan