31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Premis sorok minyak masak paket diserbu KPDNHEP

Sebanyak 1,944 unit minyak masak paket satu kg bernilai RM4,860 serta dokumen urus niaga berkaitan turut dirampas

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TAKTIK licik sebuah pasar raya di Kota Warisan, Sepang menyorok dan melakukan penjualan minyak masak bersubsidi paket satu kilogram (kg) secara bersyarat akhirnya memakan diri apabila premis itu diserbu pihak berkuasa Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, bertindak di atas aduan orang ramai, penguat kuasa KPDHNEP Sepang telah melakukan pemeriksaan ke premis berkenaan dengan berpakaian preman.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dilakukan, dokumen deklarasi maklumat berhubung keberadaan sebenar bekalan minyak masak bersubsidi paket satu kg telah gagal diberikan kepada pasukan penguat kuasa.

“Situasi ini telah memberi isyarat kepada pasukan pemeriksa untuk membuat siasatan susulan ke atas premis yang diadukan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Azman lagi, hasil pemeriksaan telah mengesan dan mengesyaki wujud perlakuan tidak beretika oleh peniaga iaitu menjual dan membekalkan barang kawalan bersubsidi itu secara bersyarat kepada pelanggan selain didapati menyimpan sejumlah produk tersebut di dalam stor.

“Premis berkenaan telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 19, AKB 1961 atas kesalahan menjual barang kawalan berjadual secara bersyarat.

“Pasukan penguat kuasa turut merampas 1,944 unit minyak masak peket satu kg bernilai RM4,860 serta dokumen urus niaga berkaitan.

“Jika disabit kesalahan dibawah Seksyen 22 (1) AKB 1961, kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Menurutnya lagi, lain-lain potensi kesalahan turut disiasat seperti keengganan menjual barang berjadual dengan kuantiti munasabah kepada pelanggan dan penyelenggaraan buku stok bagi barangan berjadual oleh pemborong dan peruncit.

“Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP akan bertindak tegas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan pengguna,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan