30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Polis perketat pemantauan 18 laluan ‘hotspot’ di Negeri Sembilan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS memperketat pemantauan terutama di 18 laluan hotspot di Negeri Sembilan yang dijangka berlaku kesesakan akibat pertambahan kenderaan menjelang perayaan Aidiladha esok.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, laluan berkenaan melibatkan empat lokasi di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Nilai (tiga), Seremban (dua), Tampin (dua), Kuala Pilah (dua), Jempol (dua) manakala Port Dickson, Jelebu dan Rembau masing-masing satu lokasi.

“Seramai 303 pegawai dan anggota terlibat dengan operasi itu. Rondaan akan dilakukan di lebuh raya, jalan Persekutuan dan negeri dengan penugasan khususnya daripada bahagian trafik, kereta peronda polis (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan ketua-ketua balai.

“Penguatkuasaan sudah bermula semalam hingga 11 Julai, untuk operasi ini kita lebih memberi fokus kepada kelancaran lalu lintas.

“Tindakan penguatkuasaan hanya dikenakan sekiranya kesalahan berlaku secara terang-terangan di depan mata,” katanya, lapor Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 790,000 atau pertambahan 75 peratus kenderaan dijangka memasuki negeri ini sempena Aidiladha berbanding 451,000 kenderaan pada hari biasa.

Ruslan menyarankan orang ramai yang ingin pulang ke Johor dari Kuala Lumpur supaya menggunakan terus laluan PLUS, manakala yang ingin ke Negeri Sembilan atau Melaka menggunakan Lebuhraya Kajang-Seremban dan jalan Persekutuan.

“Bagi yang ingin ke pantai Timur dari Kuala Lumpur melalui negeri ini boleh menggunakan Jalan Jelebu atau Kuala Pilah ke Muadzam Shah bagi mengelak kesesakan berganda,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhemah dan mematuhi arahan polis serta lalu lintas khususnya tidak memotong di lorong kecemasan.




Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan