BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan para jemaah haji Malaysia agar mengekalkan nilai-nilai yang baik bagi mendapat haji sempurna serta menjaga nama baik negara.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, jemaah haji Malaysia memang terkenal sebagai jemaah yang sentiasa menjaga peribadi, akhlak dan mematuhi peraturan sepanjang musim haji.
“Marilah kita terus kekalkan nilai-nilai yang baik ini bagi mendapat haji yang sempurna sekali gus menjaga nama baik Malaysia,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Menurutnya, sejak dua tahun lalu ketika pandemik menyerang negara, tidak ada jemaah haji dari negara ini dibenarkan ke Tanah Suci untuk melaksanakan ibadah haji.
Bagaimanapun, kata beliau, pada tahun ini suasana sudah kembali seperti biasa dan jemaah haji berpeluang mengerjakan ibadah tersebut walaupun syarat dan peraturan yang dikenakan sedikit ketat.
“Justeru saya ingin berpesan kepada semua jemaah haji Malaysia, sama ada yang sudah berada di Mekah dan Madinah atau yang akan berangkat tidak lama lagi, manfaatkanlah peluang ini untuk memperbanyakkan ibadah wajib dan sunat sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.
Dalam suasana pandemik Covid-19 yang masih belum reda ini, beliau turut mengingatkan para jemaah agar sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri serta mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Tabung Haji atau kerajaan Arab Saudi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pagoh itu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana memilih Malaysia sekali lagi tahun ini bagi program Inisiatif Laluan Mekah.
Beliau berkata, menerusi program tersebut, jemaah haji Malaysia ke Mekah tidak perlu melalui prosedur yang memakan masa setibanya di lapangan terbang negara itu.
“Saya juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada petugas-petugas Tabung Haji yang bertugas dengan penuh dedikasi tanpa mengira waktu bagi menyantuni dhuyufurrahman.
“Jasa dan pengorbanan anda semua hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya,” katanya.
-EDISI9