26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Mentaliti toksik dalam komuniti seni dan komedi

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Saudara Pengarang

Masih panas dan tular kontroversi tentang seorang wanita pengamal seks bebas dan penggemar parti liar yang hadir ke sebuah pentas terbuka di Kuala Lumpur baru-baru ini. Kononnya untuk mempersembahkan komedi solo.

Pada awal pengenalan, dia mendakwa dirinya Islam, menghafaz sebahagian al-Quran dan mendapat pendidikan agama sejak kecil dalam persekitaran keluarga Melayu sebelum bertindak membuka tudung lalu berpakaian mencolok mata. Semua itu kononnya atas nama komedi dan mahu membuat jenaka.

Bagi yang melihat dan mendengar aksi tersebut (bukan sahaja pada babak permulaan tetapi keseluruhannya aksi beliau), hampir tidak ada yang kelakar. Punchlines-nya tidak menjadi. ‘Komedinya’ tidak berisi. Ramai yang mencebik dan berkerut. Pada mereka, aksinya mengarut.

Yang ada hanyalah penekanan yang bersungguh-sungguh bahawa beliau adalah penganut Islam, bertudung sejak kecil, menghafal sebahagian al-Quran dan mendapat pendidikan agama dalam persekitaran hidup keluarga Melayu.

Pasti kita tertanya-tanya. Apakah motif dan niat tindakan sebegitu? Lebih penting, di mana komedi dan jenakanya?

Dalam insiden seorang pengamal seks bebas dan penggemar tegar parti liar yang mahu mencuri perhatian dengan cubaan menjadi pelawak jadi-jadian ini, ada banyak yang boleh kita perhatikan dan belajar.

Pertama, pemahaman tentang fungsi agama dalam hidup.

Seharusnya agama menjadi had dan batas yang menentukan perkara yang boleh menjadi gurauan. Bukannya agama yang dijadikan gurauan. Sekali pun kesucian agama tidak sedikit pun ternoda dan terkurang dengan olokan dan momokan manusia, namun tidak wajar untuk menjadikan agama sebagai bahan jenaka.

Adakah ini isu baharu dan terpencil? Sebenarnya tidak.

Ramai sebenarnya di luar sana yang dengan sengaja dan sedar memilih untuk menghina, memperolok, merendah-rendah dan mempermainkan agama, bangsa dan budaya atas nama komedi, seni dan kebebasan bersuara. Pada mereka, perkara sebegitu ‘biasa’ dan cool.

Kedua, pemahaman yang lemah dan terpesong tentang komedi, jenaka dan seni.

Komedi adalah peluang kita membuat orang terhibur dan ketawa. Bukan ruang untuk menelanjangkan diri agar kita ditertawakan. Benar komedi dan seni itu lazimnya sedikit nakal. Tetapi bukan anti akal.

Komedi, seni atau apa-apa ekspresi kreatif sekali pun bersifat gurauan dan ‘ringan’, perlu mempunyai nilai dan mesej.

Stand up comedian yang terkenal seperti Trevor Noah selalunya akan mengutamakan mesej dan nilai yang baik. Bukannya gigih dan terdesak seperti George Carlin yang akan memasukkan segala elemen yang boleh memberikan imej buruk terhadap sesuatu agama, bangsa dan budaya.

Sekiranya dalam sesuatu karya seni, komedi dan ekspresi kreatif, nilai dan mesej yang baik dikesampingkan, maka murahan adalah adjektif paling ringan untuk menggambarkan mutu karya tersebut.

Perkara ketiga yang boleh kita ambil pengajaran adalah tentang keperluan untuk mengubah beberapa mentaliti sempit.

Pertama, mentaliti yang suka menyalahkan agama.

Wanita pengamal seks bebas dan penggemar parti liar yang mahu menjadi pelawak jadian ini bukan insiden pertama. Ramai wanita bertudung yang mendakwa kononnya tertekan, terpaksa dan menderita hidup beragama.

Lalu agama dijadikan alasan untuk mereka berubah menjadi liar dan hedonis. Mentaliti seperti ini sangat keanak-anakan.

Kedua, sikap menyalahkan ibu bapa dan asuhan keluarga atas segala kesulitan dan ketidakbahagiaan hidup.

Penulis karya kreatif berstatus bilionair, JK Rowling semasa berucap pada Harvard Commencement 2008 mengungkapkan “There is an expiry date on blaming your parents for steering you in the wrong direction.”

Maksud mudah dan ringkasnya, berhentilah menyalahkan semua perkara kepada ibu bapa. Sekali pun mereka sememangnya salah dan bukalah ibu bapa yang baik, sampai bila kita mahu begitu?

Kita sendiri yang perlu mencari jalan membetulkan kesilapan lalu, kekurangan diri dan tekanan hidup. Bukannya terus menerus menyalahkan ibu bapa dan keluarga sekali pun selepas sudah 20 tahun menjadi orang dewasa.

Ketiga, ketaasuban menyembah populariti dan mengejar penerimaan orang sehingga hilang nilai diri, kesantunan, mesej besar dan kecerdikan akal.

Dunia media sosial hari ini hanya memburukkan mentaliti toksik yang semakin menjadi budaya masyarakat sekarang. Sebab itu ada yang mencipta lagu yang dungu, menghasilkan klip video yang memalukan diri serta membuat content (kandungan) seperti menarik tudung orang awam yang semuanya bertujuan mengundang kemarahan serta kecaman.

Keempat, kita mesti menegaskan bahawa jenaka, komedi, seni dan karya kreatif bukan lesen menjadi dungu, biadap, rasis dan tidak sensitif.

Di Barat, segala-galanya boleh. Jesus menjadi bahan jenaka dalam semua perkara. Hatta, tema dalam semua jenis produk pornografi dan ejekan dalam segenap ruang litup hidup. Pastinya ini bukan makna dan aspirasi kebebasan bersuara dan nilai sebenar seni kreatif. Kita mesti menolak kebebasan mutlak seperti ini.

Pada akhirnya, jadikanlah setiap perkara yang kita lakukan sebagai peluang mengajak masyarakat untuk berfikir dan menjadi lebih baik. Bukannya masing-masing bersaing siapa mahu tampil paling jelik.

Dalam berjenaka dan berkarya, biarlah berakal. Menjatuhkan maruah dan kebijaksanaan diri tidak pernah kelakar. Menjadikan orang lain bahan ketawa, tidak pernah pintar.

MOHD DAUD MAT DIN
Kuala Lumpur

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan