28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Larangan lompat parti elak negara berdepan krisis politik – PM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN hari ini membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti bagi memastikan kestabilan politik dan mengelak negara terus berdepan dengan krisis politik yang tiada berkesudahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan undang-undang itu juga bagi memberikan mesej yang jelas kepada setiap ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada mereka ketika pilihan raya.

“Selain itu, saya yakin Rang Undang-Undang (RUU) ini juga mampu menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah sekali gus memastikan kestabilan politik negara untuk suatu jangka masa panjang,” katanua pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini.

Perdana Menteri berkata, RUU yang dibentangkan itu bertujuan meminda, memansuhkan peruntukan sedia ada serta memasukkan peruntukan baharu dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan ahli dewan rakyat bertukar parti.

“Sebelum ini, RUU mengenai pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan berkaitan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti ini telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Santubong untuk Bacaan Pertama di Dewan Rakyat pada 11 April 2022 yang lalu.

“Kerajaan memandang serius tindakan bertukar parti atau “lompat parti” atau dengan izin, defection, party jumping atau floor crossing yang telah menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum. Ini kerana ia melibatkan mandat atau kepercayaan rakyat yang memilih wakil mereka di Dewan Rakyat.

“Justeru, bagi membuktikan keseriusan kerajaan, Jemaah Menteri bersetuju merealisasikan pindaan perlembagaan berkenaan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti ini,” katanya.

Advertisements

Ismail Sabri berkata, penggubalan RUU tersebut telah mengambil masa hampir setahun.

“Sesungguhnya, proses penggubalannya bukanlah suatu proses yang mudah kerana ia melibatkan masa, tenaga dan komitmen semua pihak terlibat iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dan Parlimen Malaysia.

“Sehubungan itu, sokongan semua Ahli Yang Berhormat kepada pindaan Rang Undang-Undang ini amatlah penting memandangkan keperluan fasal (3) Perkara 159 yang tertakluk kepada fasal (4) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dimana satu Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan hanya dapat diluluskan jika mendapat sokongan pada bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga tidak kurang dari dua pertiga (2/3) atau 148 (jumlah minimum) dari jumlah Ahli Majlis Parlimen.

“Besarlah harapan saya agar RUU ini dapat disokong dan diluluskan sebulat suara oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat dengan berteraskan semangat Keluarga Malaysia.

“RUU ini merupakan satu sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak iaitu Kerajaan dan Pembangkang.

“Semoga RUU ini berupaya melakar sejarah sepertimana Pindaan Perlembagaan Berkaitan Perjanjian Malaysia Tahun 1963 yang memperoleh sokongan penuh daripada semua Ahli-Ahli Parlimen yang berjiwa besar,” katanya.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Agong, Permaisuri zahir rasa sedih tragedi nahas helikopter TLDM

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih atas tragedi nahas dua...

Lagi Artikel Berkaitan