KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menggalakkan warga emas, individu yang mempunyai komorbiditi dan pekerja barisan hadapan untuk mendapatkan dos penggalak kedua sekurang-kurangnya empat bulan selepas menerima dos penggalak pertama.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sehingga kelmarin, sebanyak 31.4 peratus daripada golongan dewasa iaitu seramai 7,393,199 inidividu masih belum dapat dos penggalak.
“KKM ingin mengatakan dos penggalak ini tidak wajib tetapi sangat disarankan terutama bila kita berdepan dengan gelombang baharu dan apabila kita melihat pergerakkan manusia di Malaysia akan meningkat kerana cuti aidiladha.
“Kepada warga emas dan rakyat yang ada masalah komorbiditi untuk segera dapatkan dos penggalak sekiranya belum terima dos penggalak. Ini sangat penting memandangkan kita berdepan dengan gelombang COVID-19 yang baharu.
“Bagi dos penggalak yang kedua, hanya 151,018 telah mendapat dos penggalak kedua iaitu 6.06 peratus daripada 2,339,792 individu yang layak,” jelasnya.
Menurut Khairy, KKM telah buka ruang kepada warga emas dan juga penduduk Malaysia yang ada komorbiditi untuk menerima dos penggalak kedua.
“Kita menawarkan dos penggalak yang kedua dan mereka berkelayakan boleh mendapatkan dos penggalak mereka secara percuma di pusat pemberian vaksin swasta yang berdaftar yang tersenarai di laman web Protect Health,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, lapor Utusan.
Setakat ini di Malaysia, KKM mengesahkan, sehingga 30 Jun, sudah terdapat 13 kes sub-varian Omicron yang sedang dipantau rapi iaitu enam kes BA.2, lima kes BA.5 dan dua kes BA.52. Setakat ini tiada kes BA.4 dilaporkan.
Tambah Khairy, kini negara telah mempunyai rawatan untuk kes-kes baharu dijangkiti COVID-19 iaitu ubat antiviral yang bernama Paxlovid.
“Ubat ini diberikan kepada pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi yang mengalami gejala ringan hingga sederhana.
“Kriteria pesakit COVID-19 yang layak menerima Paxlovid adalah untuk mereka yang umur 18 tahun ke atas, mengalami jangkitan Covid-19 kategori dua dan tiga atau 60 tahun ke atas serta yang mempunyai masalah komorbiditi serius boleh mendapatkan Paxlovid di pusat kesihatan yang disenaraikan,” katanya.