SEORANG ibu dan bayinya maut selepas kereta dinaiki lima sekeluarga itu terbabas sebelum masuk dan terbalik dalam parit di Kilometer 141.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Yong Peng, Johor hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hafiz Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kemalangan itu pada pukul 6.19 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki sebuah keluarga telah terbabas dan terbalik dalam parit yang dipenuhi air di tepi lebuh raya.
“Terdapat tiga mangsa berjaya keluar dengan sendiri iaitu Mohd Khusairi Mohd Khaida, 39, dan dua anaknya, Nur Ulmiyah Nuha, 9, dan Nur Nadiah Husha, 6.
“Dua lagi mangsa, Dalila Ilyia Abu, 36, dan bayi lelakinya, Khalis Mohd Khusairi yang berusia setahun tidak sedarkan diri dalam kereta dan dipercayai lemas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai enam anggota dengan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Pihaknya bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa dan memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) terhadap mereka, namun tiada tindak balas.
“Kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Ayer Hitam dan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, operasi tamat pada pukul 8.53 pagi. – Edisi 9