29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Akibat ketidakmatangan pemimpin, Kedah rugi besar

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN

SUDAH sangat dijangkakan. Sebaik sahaja banjir di Baling, Kedah mulai surut, tuding menuding mula membengkak.

Datuk Seri Muhammad Sanusi menyalahkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Manakala Datuk Seri Mukhriz menyalahkan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Masing-masing menuduh projek menanam durian besar-besaran Ladang Rakyat yang didakwa sebagai punca banjir teruk di Baling adalah kesan tindakan dan keputusan Menteri Besar dari parti lain sebelum mereka.

Siapa yang cadangkan, siapa yang luluskan, siapa pula yang mula menanam?

Kesemua ini adalah soalan afterthought yang tidak pun memberi apa-apa kebaikan kepada mangsa dan mereka yang terlibat.

Hakikatnya, nasi sudah menjadi bubur. Yang perlu lebih kita hiraukan adalah mereka yang suka membaling batu, sembunyi tangan. Tidak kurang yang menangguk di air keruh (keruh benar air banjir di Baling kali ini).

Semua ini sekali lagi menjadi petunjuk ketidakmatangan pemimpin-pemimpin Kedah. Kegagalan mereka, biar dari parti mana pun, untuk mengambil pertanggungjawaban sangat memualkan.

Tidak ada seorang pun yang berani tampil sebagai a gentleman with balls. Masing-masin menikus dan galak menyalahkan orang lain.

Keratan akhbar berhubung isu penanaman durian Musang King yang dikatakan menjadi punca banjir kepala air di Baling, Kedah baru-baru ini.

Sedangkan Kedah bukanlah negeri yang kontang. Kawasannya subur. Rakyatnya rajin dan bekerja keras. Kedudukannya strategik. Potensinya besar.

Namun kesemua itu tidak membuahkan hasil yang jelas dan dapat benar-benar dinikmati oleh rakyat.

Kesemuanya gagal dirancang, diurus dan dimanfaatkan dengan baik serta matang orang pemimpin negeri. Masing-masing terlalu ghairah menghentam orang lain.

Sehingga agenda pembangunan negeri yang sebenar sedikit pun tidak diberikan perhatian.

Dalam isu banjir Baling khususnya, saya berpandangan, akauntabiliti adalah perkara yang besar dan kritikal. Ia mesti dibongkar dan dijawab. Rakyat berhak mengetahuinya dengan lengkap dan telus.

Namun pembongkaran dan pendedahan tidak boleh dikutip melalui lidah dan lensa ahli politik atau mereka yang terlibat.

Wujud konflik kepentingan yang jelas di situ. Perkara ini mesti dikelola dan diuruskan oleh entiti yang bebas, tegas dan berkelayakan.

Selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seperti yang disarankan oleh banyak NGO, adalah wajar sekiranya diwujudkan juga sebuah jawatankuasa khas “bipartisan” untuk meneliti secara mendalam punca bencana ini.

Jawatankuasa ini perlu menggandingkan kedua-dua wakil kerajaan dan pembangkang serta entiti bebas dari luar agar ia lebih berfungsi dan berkesan.

Cuma, pada saya, selain mencari kebenaran, jawatankuasa bipartisan bebas ini mesti turut memberi cadangan kepada kerajaan negeri berhubung penambahbaikan tatacara kelulusan dan SOP pembalakan, atau apa-apa sahaja projek besar kerajaan negeri yang mempunyai impak alam sekitar yang serius.

Malah, saranan dan cadangan penambahbaikan ini mestilah kemudiannya dibentang dan dibahaskan di dalam Dewan Undangan Negeri. Yang perlu menjadi dasar, gazetkan.

Yang perlu menjadi peruntukan mandatori, masukkan dalam enakmen negeri. Jika tidak, kita hanya akan (sekali lagi) ditinggalkan dengan laporan demi laporan oleh pelbagai jawatankuasa yang ditubuhkan setiap kali bencana berlaku.

Apabila dibentang dan dibahaskan di dalam DUN dan dijadikan polisi atau peruntukan enakmen negeri, maka siapa pun, atau parti mana pun yang mentadbir Kedah kelak, akan terikat ketat dengan prosedur, undang-undang dan amalan yang baik.

Rakyat Kedah mesti bangkit beramai-ramai menuntut perkara ini. Tanpa dikaburi oleh ideologi politik mahupun kesetiaan kepada mana-mana pihak parti.

Kita mesti menyampaikan mesej kepada semua ahli politik dan pemimpin, dari segenap parti politik, bahawa mentadbir negeri adalah amanah besar.

Ia mesti dilakukan dengan meletakkan kepentingan negeri pada keutamaan tertinggi.

Berhentilah menjadi pemimpin yang berfikir pada lingkungan sendiri sahaja. Berhentilah menjadi pemimpin yang hanya memikirkan tentang siapa yang betul dan salah sahaja.

Ini adalah masa untuk menggunakan peluang memberikan yang terbaik kepada negeri yang dipimpin. Jika tidak, yang rugi adalah Kedah sendiri.

  • Penulis adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok. Artikel ini dipetik daripada Facebook beliau.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan