25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Bantuan segera dipastikan sampai kepada mangsa banjir – PM

Perdana Menteri mengikuti perkembangan yang menimpa Keluarga Malaysia di Baling walaupun sedang berada di Turkiye

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluahkan rasa sedih dan simpati dengan kejadian bencana banjir yang berlaku di Baling, Kedah semalam, yang mengorbankan tiga nyawa setakat ini.

Perdana Menteri memberi jaminan bahawa keperluan dan bantuan segera akan dipastikan sampai kepada mangsa banjir walaupun beliau kini berada di Tukri bagi lawatan rasmi.

“Walaupun berada di Turkiye untuk lawatan rasmi, saya sentiasa mengikuti perkembangan yang menimpa Keluarga Malaysia di Baling.

“Saya mengarahkan Setiausaha Politik, Datuk Mohammad Anuar mewakili saya, turun ke kawasan bencana bagi meninjau dan memastikan bantuan disalurkan dengan secepatnya kepada mangsa,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Ismail Sabri berkata, pihaknya meninjau keperluan segera yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir yang terlibat di Baling dan bantuan harus segera disampaikan kepada mangsa walaupun beliau berada di Turkiye.

“Saya juga telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa berkaitan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

“Saya doakan semoga mangsa-mangsa banjir tabah menghadapi dugaan ini.

“Takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang dan sama-samalah kita sedekahkan Al Fatihah dan didoakan semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” kongsinya.

Terkini ketiga-tiga mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang sudah ditemukan oleh pasukan penyelamat dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

Jasad wanita hamil dan ibu mentuanya yang dihanyutkan arus kepala air di rumah mereka di Kampung Iboi, ditemukan dalam keadaan berpelukan kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka runtuh.

Mayat Nurul Anis Abu Hassan, 28, yang hamil empat bulan ditemui bersama ibu mentuanya, Salmah Mat Akib, 53, jam 9.30 pagi di bawah timbunan batang pokok yang turut dihanyutkan arus deras.

Mayat mangsa ketiga, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, ditemui dalam keadaan baik dan tiada kesan kecederaan kira-kira pukul 11.55 pagi tadi.

-EDISI9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan