27.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

‘Hotspot’ baharu buang sampah haram di Putrajaya dikesan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SATU lokasi hotspot atau titik panas baharu telah dikesan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan yang dijadikan tempat pembuangan sampah secara haram.

Pengesanan lokasi berkenaan yang bersempadan Putrajaya dengan Selangor itu telah dijumpai sepasukan penguatkuasa yang melakukan pemantauan semalam.

SWCorp berkata, lokasi terkini itu terletak di sempadan Presint 11 dan Aspen, Cyberjaya.

“Semua hotspot didapati terkawal dengan tiada tanda pembuangan baharu namun satu pula ditemui di sempadan,” kata agensi itu menerusi hantaran dalam laman sosialnya semalam.

Susulan itu, Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib yang turut turun padang membuat tinjauan lokasi tersebut, telah meminta pembersihan dibuat dengan segera.

Beliau juga mengarahkan kawasan berkenaan ditutup kepada orang awam setelah melakukan pemeriksaan rutin bersama-sama Pasukan Penguatkuasaan SWCorp Cawangan Putrajaya.

Advertisements

Putrajaya dikenal pasti mempunyai lima hotspot sampah haram dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab selama ini kerana lokasinya agak tersorok.

Bagaimanapun ujarnya, kesemua kawasan tersebut sudah pun terkawal dan pihak SWCorp Wilayah Persekutuan akan menjemput Majlis Perbandaran Sepang untuk bekerjasama.

“Kedua-dua agensi ini bakal turun padang bersama bagi membersihkan kawasan sempadan dengan segera terutama longkang, pemotongan rumput dan pengutipan sampah.

“SWCorp sentiasa melaksanakan pemantauan secara harian dan tindakan tegas akan diambil sekiranya pelaku dapat dicekup kerana membuang sampah haram di tempat tidak diizinkan,” katanya.

Jelas beliau, kesalahan tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 71 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 di negeri-negeri yang sudah pun meratifikasi akta itu.

“Mereka yang disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda daripada RM10,000 sehingga tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan sehingga lima tahun,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan