27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Harimau Malaya ratah Turkmenistan 3-1 di Bukit Jalil

Mesti Baca

HARIMAU Malaya mengaum garang di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila meratah Turkmenistan 3-1 dalam aksi pertama Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 sebentar tadi.

Dengan sokongan ribuan penyokong tuan rumah, skuad Kim Pan Gon terus mengganas dan mengasak ke kubu lawan.

Hasilnya Safawi Rasid berjaya membuka jaringan pada minit ke-11, menyudahkan hantaran lintang daripada Arif Aiman Mohd Hanapi yang ditepis oleh penjaga gol, Orazmuhammedov Mammet.

Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral barisan pemain negara untuk menambah jaringan dan hampir melakukannya pada minit ke-15 tetapi Darren Lok gagal menguis masuk bola hasil hantaran lintang cantik daripada Matthew Davies.

Bagaimanapun kehampaan itu ditebus Faisal Abdul Halim berselang seminit kemudian apabila pemain lincah itu tidak mensia-siakan peluang yang diperoleh hasil usaha Arif Aiman yang berjaya merampas bola dari kaki pertahanan lawan.

Corak permainan tekanan tinggi yang diterapkan Kim Pan Gon jelas menjadi masalah buat pasukan lawan dan Matthew Davies hampir menambah jaringan ketiga namun percubaannya dari jarak jauh hanya sedikit melewati palang gol.

Tidak mahu terus ditekan, skuad kendalian Hojageldiyev Yazguly memperkemaskan gerakan dan mereka mendapat peluang pertama pada minit ke-23.

Bagaimanapun, tandukan dalam kawasan penalti oleh Annadurdyyev Altymyrat yang menerima hantaran jauh Rejebov Abdy mudah ditangkap kemas penjaga gol, Farizal Marlias.

Memasuki minit ke-38, Turkmenistan merapatkan defisit jaringan apabila Annadurdyyev Altymyrat mudah menolak masuk bola ketika situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol susulan tandukan ke belakang Dion Cools terkena palang dan tidak dapat dikawal baik Farizal.

Ketika para pemain sudah berkira-kira untuk melangkah keluar ke bilik persalinan, Corbin-Ong melakukan gerakan solo dari kawasan sendiri dan kemudiannya melepaskan rembatan yang tidak mampu dihalang Orazmuhammedov, menjadikan kedudukan 3-1.

Memasuki babak kedua, pergerakan para pemain kebangsaan sedikit perlahan sehingga membuka peluang kepada pasukan pelawat mengawal permainan dan memberikan tekanan hebat ke kubu skuad negara.

Antara peluang terbaik dimiliki Turkmenistan ialah sepakan percuma cantik yang diambil pemain gantian, Nurmyradov Selim tepat menuju pintu gol skuad negara tetapi Farizal cemerlang dalam menafikan percubaan tersebut pada minit ke-67.

Barisan pemain pertahanan skuad negara yang diketuai Dion Cools dan Shahrul Mohd Saad bersama Farizal kental bertahan untuk menyerap asakan diberikan Turkmenistan sekali gus keputusan 3-1 itu kekal hingga tamat permainan.

Malaysia kini berada di tangga teratas Kumpulan E berkongsi mata dengan Bahrain yang menewaskan Bangladesh dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di sebelah petang, namun berkelebihan jaringan. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan