25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Gagal jelas peroleh wang RM3.14 juta, 10 individu didenda RM1,000

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran memohon hukuman dikenakan terhadap semua tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan pengajaran.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

10 individu dijatuhkan hukuman denda maksimum RM1,000 setiap seorang dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini.

Hukuman berkenaan susulan kesemua 10 lelaki berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan gagal memberi penjelasan berhubung perolehan wang dalam akaun bank membabitkan jumlah RM3.14 juta.

Pertuduhan terhadap lelaki berusia antara 29 hingga 51 tahun itu termasuk pemandu lori, kontraktor, nelayan, pengawal keselamatan dan peniaga dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Tertuduh membabitkan Mohamad Saifuddin Ismail, Mohammad Anas Kamarudin, Muhammad Ariff Ahmad Tajuddin, Muhamad Helmi Ahmad, Mohd Syukur Maula Muhamad Desa, Mohd Hafiz Kamis, Muhammad Ikhwan Iswandy Ramli, Mohd Nizam Mat Jasat, Khairul Mizan Mohamad Johari dan S Vikneswaran.

Semua tertuduh tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan bagaimana memperoleh sejumlah wang milik seorang guru swasta berusia 31 tahun berjumlah antara RM40,000 hingga RM2.3 juta di dua bank di Ampang, antara 20 Februari hingga 4 April lalu.

Oleh itu, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, guru itu menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Ketua Pegawai Operasi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), pada Februari lalu.

Lelaki itu menyatakan guru berkenaan mempunyai tunggakan cukai selama 15 bulan berjumlah RM17,600.76 atas Syarikat Trillion Star Enterprise yang didaftarkan atas nama mangsa.

Guru itu kemudian diminta membuka akaun bank baharu sebelum maklumat perbankan diserahkan kepada lelaki berkenaan.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili semua tertuduh itu, Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak memohon hukuman denda seringan-ringannya tanpa dipenjara selepas anak guam mengaku bersalah yang secara tidak langsung menjimatkan masa mahkamah.

“Hukuman juga perlu mengambil kira pendapatan dan tanggungan di bawah mereka. Dalam kes ini, anak guam adalah mangsa dan tidak sedar akaun bank digunakan pihak ketiga. Mereka tidak memperoleh apa-apa manfaat atas kerugian yang ditanggung pengadu,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran memohon hukuman dikenakan terhadap semua tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan pengajaran.

“Selaku pemegang akaun, tertuduh perlu mengambil tahu transaksi yang berlaku dalam bank sendiri lebih-lebih lagi jika ia membabitkan jumlah yang besar.

“Mahkamah juga perlu mengambil kira kekerapan kes yang mana hampir setiap hari kes ini dituduh di mahkamah, selain kerugian yang ditanggung oleh mangsa,” katanya.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan