25.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 27, 2023

Warga emas rugi RM485,000 kena ‘scam’

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG wanita warga emas berputih mata selepas mengalami kerugian sebanyak RM485,000 akibat terpedaya dengan penipuan panggilan telefon daripada dua ‘pegawai polis’ dan syarikat penghantaran barang.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 72 tahun yang merupakan pesara swasta telah dihubungi oleh tiga orang suspek pada 4 Ogos lalu.

“Suspek pertama seorang lelaki yang tidak dikenali yang memperkenalkan dirinya daripada sebuah syarikat penghantaran manakala suspek kedua dan ketiga menyamar sebagai pegawai polis yang bertugas di Ipoh dan Bukit Aman,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek pertama telah memaklumkan kepada mangsa terdapat satu bungkusan milik mangsa yang tidak berjaya dihantar mengandungi kad kredit, cip kad pengenalan dan kad mesin juruwang automatik (ATM).

“Mangsa menafikannya namun panggilan itu disambungkan kepada suspek kedua daripada ‘Ibu Pejabat Polis Ipoh’ dan seterusnya kepada suspek ketiga yang kononnya pegawai polis bertugas di Bukit Aman.

“Suspek ketiga memperdayakan mangsa dengan dituduh terlibat kes pemerdagangan manusia dan penggubahan wang haram serta diugut akan ditangkap dan dipenjarakan,”katanya.

Mohd. Yusri berkata, mangsa ketakutan lalu bertindak mengikut arahan suspek dengan memindahkan kesemua wang miliknya ke dalam akaun yang telah diberikan bagi mengelakkan daripada wang dibekukan dan dirampas.

“Mangsa telah melakukan sebanyak 34 transaksi pindahan wang di mesin ATM sekitar daerah Kerian dan Nibong Tebal ke dalam 11 akaun bank milik individu bermula dari 8 Ogos hingga 6 September lalu.

“Mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu setelah perbuatannya dicurigai oleh anak saudara yang datang melawat sewaktu mangsa ingin keluar membuat pemindahan wang berikutnya,” katanya.

Tambahnya, mangsa telah menceritakan kepada keluarga setelah didesak lalu membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Dianggarkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM485,000.

“Sehubungan dengan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan nombor yang tidak dikenali. –Edisi 9

Terkini

Nafi sos cili peket dicaj, McDonald’s buat laporan polis

MCDONALD’S Malaysia membuat laporan polis berhubung dakwaan pekerjanya mengenakan caj sos cili peket kepada pelanggan sepertimana tular baru-baru ini. McDonald’s Malaysia berkata,...

Lagi Artikel Berkaitan