SEORANG ahli perniagaan wanita berputih mata apabila kerugian RM213,700 setelah diperdaya sindiket pemberi pinjaman wang berlesen yang tidak wujud menerusi Instagram baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, hasil siasatan awal pihak polis mendapati, mangsa yang berusia 51 tahun telah melihat satu iklan pinjaman wang di Instagram penama Kelvin Loan Sales Consultant (Ambank).
“Mangsa yang tertarik kemudiannya berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM70,000 dan menghubungi nombor talian diiklankan.
“Dia kemudiannya berurusan dengan seorang lelaki dengan nama Thong Ji Sing yang meminta mangsa membuat beberapa transaksi pembayaran sebagai wang proses bagi mendapatkan pinjaman itu,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Yusri, bermula dari 1 hingga 16 September lalu, mangsa telah melakukan sebanyak 25 transaksi pembayaran kepada 16 akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan RM100,020 sebagaimana diarahkan suspek.
“Selain itu juga, mangsa turut melihat iklan pinjaman yang kedua di Instagram daripada Syarikat Desmond Lai Pentagon Credit dan ingin buat pinjaman sebanyak RM60,000.
“Dia (mangsa) telah membuat urusan dengan suspek kedua yang turut meminta wang proses serta bayaran perkhidmatan dan telah melakukan transaksi sebanyak 24 kali ke 14 akaun yang berbeza dengan jumlah keseluruhan RM113,680,”katanya.
Katanya, setelah melakukan sebanyak 30 transaksi bayaran berjumlah RM213,700, mangsa masih gagal mendapatkan pinjaman sepertimana yang dijanjikan.
“Apabila mangsa bertanyakan tentang status pinjaman daripada kedua-dua suspek menerusi panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas, mangsa tidak dilayan malahan nombornya juga disekat dan kemudiannya mangsa menyedarinya dirinya telah ditipu,”katanya. – Edisi 9