SERAMAI 9,696 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 memperoleh keputusan cemerlang Gred A dalam semua mata pelajaran.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 9,411 calon pada SPM 2020.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid berkata, pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) pula merekodkan nilai 4.86.
“Sementara itu, calon mendapat sekurang-kurangnya Kepujian adalah seramai 71,842 orang dengan peratusan 18.8 peratus.
“Pencapaian sekurang-kurangnya Lulus pula, seramai 129,796 orang dengan 33.96 peratus,”katanya dalam sidang akhbar pengumuman peperiksaan SPM 2021 di sini hari ini.
Beliau berkata, nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.
“Untuk rekod, nilai GPN pada SPM 2020 adalah 4.80,” katanya.
Dalam pada itu, menurut beliau, pencapaian keputusan SPM 2021 tidak wajar dibandingkan dengan tahun lalu memandangkan calon pada tahun ini merupakan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
“Pelaksanaan KSSM ini bertujuan menyediakan calon dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan sejajar dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,”katanya.
Untuk rekod, seramai 407,097 orang calon telah mendaftar peperiksaan SPM 2021 di 3,382 buah pusat peperiksaan. – Edisi 9

