PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini dalam rangka lawatan kerja rasmi ke Jepun sempat mengadakan pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri Singapura Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Pertemuan berkenaan diadakan di Imperial Hotel, Tokyo pagi tadi.
Difahamkan dalam pertemuan selama 30 minit itu, Ismail Sabri dan Lee membincangkan isu kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin dijadualkan menyampaikan ucaptama Persidangan Nikkei bersama-sama beberapa ketua negara lain pada pagi esok.
Terdahulu, Ismail Sabri menyatakan lawatan berkenaan adalah bagi memperkasakan Dasar Pandang ke Timur serta memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia dalam hubungan dua hala Malaysia-Jepun.
Dua tujuan berkenaan merupakan antara inti pati yang bakal diketengahkan Ismail Sabri ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun selama enam bermula kelmarin.
Ia adalah lawatan kerja rasmi sulungnya ke Jepun sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos tahun lalu.
Sempena lawatannya, Ismail Sabri akan bertemu rakan sejawatnya Fumio Kishida, yang baru memegang jawatan itu pada Oktober tahun lalu.
Sempena pertemuan itu nanti, kedua-dua perdana menteri akan menyaksikan majlis menandatangani tiga memorandum kerjasama antara Malaysia dan Jepun.
Ia membabitkan Memorandum Kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Jepun mengenai industri pesawat; Memorandum Kerjasama Mengenai Kerangka Asas Bagi Perkongsian Maklumat Untuk Operasi Sewajarnya Sistem Berkaitan Sumber Manusia Asing dengan Status ‘Pekerja Mahir Tertentu’ dan Memorandum Kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun mengenai kerjasama dalam bidang belia dan sukan.
-EDISI9