33.8 C
Kuala Lumpur
Friday, July 1, 2022

Guru didakwa guna syarikat sendiri bekal barang kepada sekolah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG guru wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang atas dua pertuduhan mendapatkan suapan hampir RM3,000 membabitkan pembelian beberapa peralatan sukan daripada sebuah syarikat pengurusan acara pada lima tahun lalu.

Tertuduh, Hazlina Kasah, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pegawai Pendidikan Siswazah Gred 48 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan untuk membeli pelbagai peralatan sukan bernilai RM2,353.66 daripada syarikat Hazwan Event Management yang juga adalah syarikat miliknya pada 17 Oktober 2017.

Bagi pertuduhan kedua pula, guru yang ketika ini Penolong Kanan Hal Ehwal Murid itu, didakwa menggunakan syarikat sama untuk membeli kelengkapan sukan bernilai RM522.66 pada 19 Oktober 2017.

Baca juga:   Lagi insiden terjun jambatan pertama Pulau Pinang

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Mohamad Azlan memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, tertuduh merayu supaya jaminan dapat dikurangkan kerana dia perlu menyara lima anak berusia antara sembilan dan 20 tahun yang masih bersekolah, selain perlu menanggung ibunya.

Baca juga:   Lagi insiden terjun jambatan pertama Pulau Pinang

Hakim kemudian membenarkan tertuduh dikenakan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, selain mengarahkan tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan, melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan tidak dibenarkan mengganggu saksi kes.

Mahkamah menetapkan 27 Jun depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

-EDISI9

Terkini

Rakyat pulang ke tanah air tidak perlu isi pas pengembara

RAKYAT Malaysia yang pulang ke negara ini tidak lagi perlu mengisi dan melengkapkan ciri-ciri Pas Pengembara dalam aplikasi MySejahtera...

Lagi Artikel Berkaitan