27.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Operasi kurang pesawat punca penerbangan ditunda – Mavcom

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

OPERASI kekurangan pesawat oleh syarikat penerbangan semasa cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri tempoh hari merupakan antara sebab berlakunya penundaan penerbangan ke beberapa destinasi dalam negara.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, bagi penundaan penerbangan melebihi dua jam, sebanyak 71 peratus atau 119 penerbangan ditunda disebabkan oleh faktor operasi.

Menurut beliau, ini termasuk kekurangan pesawat, perhentian penerbangan malam yang tidak berjadual disebabkan had waktu pekerjaan sah anak kapal dan kelewatan ketibaan lanjutan daripada penundaan.

“Ini diikuti oleh faktor-faktor teknikal seperti kerosakan pesawat, penyelenggaraan mendesak yang tidak dijadualkan, serta kekurangan alat ganti atau peralatan penyelenggaraan, yang secara kolektif menyumbang kepada 25 peratus atau 41 penerbangan yang ditunda melebihi 2 jam.

“Kedua-dua faktor operasi dan teknikal menyumbang kepada 96 peratus atau 160 penerbangan daripada jumlah penerbangan yang ditunda melebihi dua jam dalam tempoh perjalanan tersebut.

“Faktor-faktor penundaan penerbangan lain adalah disebabkan keadaan cuaca buruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Mavcom sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai penyediaan penjagaan bagi 160 penerbangan yang ditunda melebihi dua jam.

Katanya, ini bagi memastikan sama ada syarikat-syarikat penerbangan berkaitan mengikut seperti yang ditetapkan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) atau sebaliknya.

Ujarnya lagi, siasatan yang dilakukan oleh Mavcom antaranya melibatkan analisis mengenai gangguan jadual penerbangan berdasarkan data yang dikemukakan oleh syarikat dan pengendali lapangan terbang.

“Berdasarkan penemuan awal Mavcom, sepanjang tempoh dari 29 April hingga 9 Mei 2022, lebih 6,000 penerbangan domestik dikendalikan oleh syarikat tempatan berbanding 8,000 penerbangan domestik sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Jun 2019.

“Daripada jumlah sepanjang tempoh itu, sebanyak 495 penerbangan merekodkan penundaan penerbangan melebihi satu jam,” katanya.

Saripuddin berkata, bagi kelewatan melebihi satu jam, Air Asia yang mengedalikan sebanyak 2,954 penerbangan mengalami sebanyak 13 peratus atau 368 penundaan, diikuti Malaysia Airlines yang mengendalikan 1,447 penerbangan dengan 3 peratus atau 44 penerbangan tertunda.

MASwings pula, tambah beliau, yang mengendalikan 656 penerbangan, dengan 10 peratus atau 64 penerbangan ditunda manakala Firefly juga mengalami penundaan penerbangan sebanyak 2 peratus atau 15 penerbangan daripada 680 penerbangan yang telah dikendalikan.

“Selain itu, Batik Air yang mengendalikan 555 penerbangan dengan satu peratus atau empat penerbangan tertunda,” katanya.

Ujar Saripuddin, Mavcom ditubuhkan untuk memastikan hak-hak pengguna penerbangan sentiasa dilindungi, dan syarikat penerbangan perlu mematuhi undang-undang yang sedia ada.

Katanya, pengguna harus ditawarkan penjagaan secara automatik seperti yang tertakluk di bawah MACPC dan tidak perlu meminta penjagaan daripada syarikat penerbangan.

“Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial bagi industri penerbangan negara, adalah menjadi kewajipan kami untuk memastikan penyiasatan yang mendalam dan objektif dijalankan sebelum sebarang tindakan diambil oleh pihak suruhanjaya,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan