26 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Antara Ke Ting, penunggang basikal lajak… siapa cuai?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh DR SIA CHIN CHIN

DR SIA CHIN CHIN

KES terbaru tentang Sam Ke Ting yang melanggar sekumpulan remaja yang menunggang basikal lajak (basikal yang diubah suai secara haram) pada pukul 3 pagi dan membunuh lapan orang penunggang tersebut, telah menimbulkan perbincangan hangat tentang isu apakah yang dianggap sebagai pemanduan cuai dan perbalahan tentang siapakah yang bersalah.

Dituduh menyebabkan kemalangan maut yang berlaku pada 2017, Ke Ting sebelum ini telah dilepas dan dibebaskan dua kali di Mahkamah Majistret pada 2019 dan 2021 kerana pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie serta membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Walaubagaimanapun, Mahkamah Tinggi telah menyabitkan kesalahan beliau di bawah s.41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (RTA) 1987.

Ramai dalam kalangan kita yang bertanya sesama sendiri – bolehkah kita juga didakwa di bawah Akta ini jika kita secara tidak sengaja melanggar seseorang di jalan raya kerana kita tidak nampak atau tidak jangka untuk berada di hadapan kita?

Di bawah RTA 1987, sesetengah daripada peruntukan yang sering dihadapi bagi dakwaan ke atas kesalahan pengangkutan termasuklah pemanduan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa, dan memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Di dalam pindaan kepada RTA yang dibuat pada Oktober 2020, s.41 (1) (menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan) telah dimasukkan sebagai satu kesalahan yang boleh didakwa bagi kenderaan mikromobiliti termasuklah basikal, basikal elektrik dan basikal roda tiga.

Walaubagaimanapun, perlu diingatkan bahawa sebelum Oktober 2020, biarpun dengan penggunaan perkataan ‘memandu’ dan ‘kenderaan motor’ dalam peruntukan ini, ia juga terpakai kepada dan boleh didakwa ke atas pengguna jalan raya yang menunggang basikal, basikal elektrik dan basikal roda tiga.

Dalam situasi Ke Ting, asas perbahasan berkisar tentang interpretasi perundangan terhadap ‘cuai’ atau ‘merbahaya’.

Dalam membenarkan rayuan ke atas kesalahan pada 18 April, mahkamah rayuan telah membenarkan enam soalan undang-undang yang dikemukakan pihak pendakwaan, termasuklah sama ada kesalahan di bawah S.41 (1) RTA 1987, khususnya ke atas “penyebab situasi merbahaya” adalah berpunca daripada pemandu atau penunggang basikal, dan sama ada kelajuan pemandu pada 44.5km/jam dianggap merbahaya berbanding dengan posisi penunggang basikal di jalan raya.

Oleh kerana RTA tidak memberi definisi ‘cuai’ atau ‘merbahaya’, interpretasi ini ditentukan oleh mahkamah menggunakan prinsip perundangan.

Didapati bersalah atas pemanduan cuai, pemandu (defendan) tentu telah mewujudkan risiko kecederaan yang jelas dan serius ke atas seseorang atau merosakkan harta benda dan mestilah sama ada telah tidak berfikir tentang kemungkinan risiko yang jelas atau telah melihat risiko dan meskipun begitu telah mengambil keputusan untuk mengambil risiko itu.

Adalah tidak boleh dianggap secara automatik bahawa jika seorang pemandu membunuh seseorang, yang beliau adalah bersalah kerana pemanduan cuai.

Sebagai contoh, dalam mengekalkan pembebasan tertuduh, dalam kes Pendakwa Raya Awam lwn Kasno bin Sani [2021] AMEJ 1635, Amelati Anak Parnell JC berpendapat seperti berikut:

“…bukan undang-undang hanya kerana kemalangan yang berlaku yang menyebabkan kematian, ia menuruti bahawa perayu telah memandu dalam keadaan membahayakan orang awam. Pihak pendakwa perlu menunjukkan lebih banyak, contohnya tertuduh memandu dalam keadaan yang menunjukkan beliau tidak mengambil kira keselamatan pengguna jalan raya lain…Dalam penghakiman kami, perkara penting atau asas dalam kecuaian di bawah s.41 (1) Akta berkenaan tidak dapat dibuktikan melampaui keraguan munasabah oleh pihak pendakwaan.”

Memandangkan Ke Ting telah diberi peluang untuk merayu, terdapat keperluan untuk mahkamah menilai elemen ‘kecuaian’ atau ‘merbahaya’ dan melihat secara objektif ke atas fakta relevan yang menyelubungi kemalangan maut ini sebelum sabitan dikenakan untuk mengelak penyalaharahan ke atas sabitan di bawah s.41 RTA 1987.

Seseorang mungkin bertanya – bagaimana pula dengan penunggang basikal lajak, yang berusia antara 13 ke 16 tahun? Adakah mereka tidak dianggap sebagai pemandu cuai?

Selain daripada kesalahan pengangkutan jalan seperti yang dinyatakan di bawah s.54 RTA 1987 yang boleh didakwa terhadap mereka yang berusia antara 12 ke 18 tahun ke atas, penggunaan basikal yang diubah suai (basikal lajak) yang tidak selamat atau penggunaan kenderaan anti sosial boleh didakwa di bawah s.431 Kanun Keseksaan (Khianat dengan membencanakan jalan awam, jambatan atau sungai).

Ia menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan khianat dengan melakukan apa-apa perbuatan yang menjadikan, atau yang ia ketahui mungkin menjadikan, mana-mana jalan awam, jambatan sungai atau terusan, tidak boleh dilalui atau kurang selamat untuk dilalui untuk membawa harta benda, hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Walau bagaimanapun, menangani isu remaja dan kanak-kanak yang terlibat dengan aktiviti sedemikian memerlukan pendekatan holistik dan nuansa selain daripada hanya hukuman undang-undang.

Terdapat keperluan utama untuk membangunkan amalan baik, yang meliputi pendidikan untuk menggalakkan pengguna jalan raya muda tentang kesedaran keselamatan di jalan raya. Contoh yang baik adalah pada 2019, apabila Polis Cleveland melancarkan skim menangani aktiviti menunggang basikal anti sosial yang pertama di United Kingdom.

Berikutan pelbagai rungutan daripada orang awam di Middlesborough tentang golongan remaja yang menunggang laju merentasi pusat beli-belah dan kawasan bangunan, polis telah memperkenalkan denda £30 dan menghantar remaja berkenaan untuk mengikuti kursus yang mengajar mereka menunggang dengan bertanggungjawab jika mereka didapati menunggang secara anti sosial atau secara merbahaya.

Wang itu akan disalurkan kepada kebajikan tempatan Middlesbrough Environment City untuk memberi manfaat kepada kejiranan dan penunggang berkenaan kemudiannya boleh mengikuti kursus menunggang basikal selama tiga jam dan menerima sijil.

Di masa hadapan, demi kepentingan keselamatan jalan raya awam, kita perlu segera mengawal penggunaan basikal yang diubahsuai (basikal lajak) yang tidak selamat atau penggunaan anti sosial kenderaan (termasuklah Mat Rempit), kedua-duanya melalui undang-undang dan juga amalan baik.

Pemimpin masyarakat dan pentadbir sekolah perlu bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mendidik golongan muda.

Golongan remaja ini juga perlu digalakkan untuk mengambil peranan utama dalam mengekang kelakuan antisosial dalam kalangan rakan sebaya mereka. Diharapkan dengan menangani masalah ini, kita boleh mengelak kes-kes seperti Ke Ting.

  • Penulis adalah Pensyarah Kanan, Sekolah Undang-undang Taylor. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan