31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Hari Raya: PM gesa terus amalkan kawalan kendiri

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa umat Islam yang meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri esok (Isnin, 2 Mei) agar terus mengamalkan kawalan kendiri walaupun banyak kelonggaran sudah diberikan.

Menurut Perdana Menteri, langkah itu perlu bagi menjamin keselamatan diri dan keluarga tercinta memandangkan pandemik Covid-19 masih belum berakhir sepenuhnya.

Pada masa yang sama, beliau mengalu-alukan mereka yang bukan beragama Islam agar sama-sama meraikan Aidilfitri dengan mengamalkan kunjung mengunjung bagi merapatkan persahabatan sesama Keluarga Malaysia.

“Aidilfitri yang kita raikan pada 1 Syawal adalah manifestasi kemenangan dan kegembiraan selepas berjuang melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan yang mulia bagi meraih martabat taqwa.

“Di kesempatan ini, saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh Keluarga Malaysia yang beragama Islam walau di mana anda berada. Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri,” katanya dalam perutusan ringkas Hari Raya Aidilfitri malam ini.

Sebelum itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan tarikh hari raya puasa ditetapkan pada hari Isnin 2 Mei 2022.

Pengumuman tersebut yang disiarkan menerusi siaran televisyen tempatan itu dianggap mengejutkan memandangkan rata-rata umat Islam di Malaysia bersiap sedia untuk menyambut kedatangan hari mulia itu pada Selasa, 3 Mei.

Sementara itu Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa syukur kerana sambutan Aidilfitri kali ini kembali normal sepertimana sebelum pandemik COVID-19 melanda.

Beliau berkata, semua itu adalah hasil daripada langkah, tindakan dan pendekatan kerajaan sejak dari awal pandemik bermula serta komitmen dan disiplin rakyat seluruhnya dalam memerangi wabak tersebut.

“Pelbagai bentuk inisiatif sedang giat dilaksanakan supaya negara dapat keluar daripada belenggu pandemik dan rakyat kembali kepada kehidupan biasa.

“Antaranya ialah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan hampir 100 peratus populasi dewasa di negara ini mendapat vaksinasi dos lengkap serta membuka jalan bagi membolehklan negara memasuki fasa endemik,” katanya menerusi rakaman video.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bersyukur kerana beberapa cadangan MPN telah diterima oleh kerajaan antaranya pembukaan pintu sempadan negara sepenuhnya serta peralihan kepada fasa endemik sejak 1 April lalu.

Katanya, semua langkah tersebut merupakan ‘exit strategic’ bagi membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan normal.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyampaikan ucapan Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyambutnya tidak kira di mana berada.

Beliau mengingatkan bahawa Aidilfitri bukan sekadar untuk memakai pakaian serba baharu, ziarah kubur, makan makanan yang lazat dan ziarah menziarahi.

Sebaliknya, kata beliau, pengertian sebenar meraikan kejayaan mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T setelah berjaya menundukkan hawa nafsu.

“Pada 1 Syawal kita kembali kepada fitrah seperti bayi yang baru dilahirkan, tetapi itu tidak pernah bermaksud perlu mengisi semula dosa dan kebatilan.

“Segala amal kebaikan serta keinsafan yang diperoleh di bulan Ramadan harus menjadi nilai diri dalam mengharungi arus kehidupan seterusnya,” katanya menerusi Facebooknya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan