28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

5,714 pelajar UPSI kembali ke kampus secara berperingkat

Mesti Baca

SERAMAI 5,714 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kembali ke kampus secara berperingkat-peringkat bermula semalam sehingga esok.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff bagaimanapun berkata, UPSI tetap akan mengambil langkah keselamatan dari pelbagai aspek bagi memastikan pelajar dan warganya dalam keadaan selamat daripada sebarang jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, penerimaan pelajar yang akan dijalankan selama tiga hari itu disambut dan dipantau oleh pihak pengurusan universiti yang membabitkan Pusat Kesihatan UPSI, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Pengetua, Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), Sekretariat Sukarelawan Siswa (SSS) serta diselia urus Bahagian Keselamatan, Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan (ROSH) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (BHEP).

Katanya, pelajar yang terlibat dengan proses Pergerakan Pulang Pelajar Fasa Dua adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda yang ditentukan oleh fakulti masing-masing.

Beliau berkata, kriteria pelajar yang dibenarkan pulang ke kampus dipilih berdasarkan keperluan program pengajian, malah pelajar diwajibkan menjalani ujian nasal sewaktu proses pendaftaran bagi mengelakkan berlakunya jangkitan Covid-19.

“Walaupun Prosedur Operasi Standard (SOP) dikurangkan, namun pihak pengurusan universiti masih menitikberatkan proses pergerakan pulang pelajar yang teratur bagi melindungi komuniti sosial agar berada dalam keadaan selamat di sekitar UPSI dan Tanjung Malim,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin menjelaskan, pihaknya akan memastikan Pergerakan Pulang Pelajar Fasa 2 berjalan lancar seperti Pergerakan Pulang Pelajar sebelum ini.

“Pihak universiti mengalu-alukan kepulangan penuntut walaupun tidak semua dapat pulang ke kampus dan diharapkan kepulangan mereka akan memeriahkan kembali suasana kampus yang sekian lama merindui keriuhan Anak Kandung Suluh Budiman,” katanya.

Menurut Norkhalid, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan secara hybrid dengan pematuhan SOP seperti yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Walau bagaimanapun, katanya, pertemuan sesama pelajar tidak akan seperti dahulu lagi kerana dibatasi oleh SOP bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

“Kami juga akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan persekitaran kolej dalam keadaan selamat dan kondusif agar pelajar berasa lebih selamat ketika berada di kampus atau di luar kampus di bawah pengawasan Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK),” katanya. – Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan