33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

TMJ ketengah tiga cadangan elak kes Bella berulang

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengetengahkan tiga cadangan bagi mengelak kes seumpama Bella berulang kembali dalam pertemuan bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, hari ini.

Tunku Ismail bertitah, tiga langkah penting yang perlu dilakukan membabitkan pindaan perundangan, penguatkuasaan dan kajian segera perlu dibuat mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak.

Titah Tunku Ismail, dalam pindaan perundangan, penambahbaikan undang-undang semasa seperti Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dilakukan segera.

“Ia harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan, untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam.

Titah Tunku Ismail lagi, bagi penguatkuasaan pula Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan dan segera menutup mana-mana pusat yang tidak berdaftar dengan JKM atau beroperasi secara haram bermula di Johor dengan serta-merta.

“Tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sempena pertemuan itu hari ini.

Turut hadir, Wakil UNICEF ke Malaysia, Amanda Bissex; dan Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail.

Sementara itu, Tunku Ismail bertitah, kajian segera juga perlu dibuat mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak bermula di Johor ditauliahkan bersama-sama dengan garis panduan daripada UNICEF dan institusi-institusi bebas lain.

“Hasil kajian tersebut akan didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksanakan dengan segera.

“Saya ingin menegaskan bahawa kebajikan kanak-kanak, terutamanya yang berada di rumah perlindungan hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga dengan baik,” tegas beliau.

Tunku Ismail sebelum ini menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi kes penderaan remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom down yang dikenali sebagai Bella.

Tawaran tersebut susulan isteri beliau, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dilapor sedia membantu Bella mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

Che Puan Besar Khaleeda menerusi hantaran di Instagram miliknya memaklumkan sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu remaja OKU itu.

Media tahun lalu melaporkan remaja yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali dengan nama Bella dipercayai didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.

-EDISI9

Terkini

Stoking kalimah Allah: Ambil tindakan tegas – Tunku Ismail

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Ibrahim hari ini menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas berhubung isu penjualan stoking...

Lagi Artikel Berkaitan