24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Pengerusi MyWatch dapat peluang terakhir rayu hukuman

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan bekas Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch), Datuk R. Sri Sanjeevan merayu sabitan dan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM7,000 atas kesalahan memeras ugut seorang pekerja kedai, sembilan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said sebulat suara menetapkan demikian selepas membenarkan permohonan Sanjeevan, 38, untuk mendapat kebenaran merayu.

Jika ahli perniagaan itu terlepas peluang terakhir untuk merayu, dia diperintah menjalani hukuman penjara serta merta. Bagaimanapun denda RM7,000 itu telah dijelaskan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Nordin Hassan membenarkan Sanjeevan mengemukakan sembilan persoalan undang-undang yang akan dihujahkan dalam rayuan kelak.

Sanjeevan perlu mendapat kebenaran untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan kerana pendakwaan terhadapnya bermula di Mahkamah Majistret yang mana rayuan sepatutnya berakhir di peringkat Mahkamah Tinggi.

Untuk rekod, Sanjeevan disabitkan atas kesalahan meminta wang tunai RM1,500 atau mangsa berdepan risko tidak boleh meneruskan perniagaan pada pukul 9.45 malam, 1 Julai 2013 di Jalan Dagangan 8, Pusat Komersial Triang, Bera, Pahang.

Panel itu turut membenarkan pelaksanaan hukuman penjara tiga bulan ditangguhkan sementara menunggu rayuan didengar pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Mahkamah memerintahkan pemohon memfailkan notis rayuan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Advertisements

Sanjeevan diwakili oleh peguam Datuk V. Sithambaram, S. Preakas dan Miguel Sequerah manakala pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim.

Ahli perniagaan itu mengemukakan permohonan untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang pada 27 November 2020 yang menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman.

Sanjeevan ketika itu merayu keputusan Mahkamah Majistret pada 14 Ogos 2018 yang mensabit dan menghukumnya dengan penjara tiga bulan dan denda RM7,000 atas kesalahan itu.

Pada 4 Disember 2020, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara tiga bulan sementara menunggu rayuannya didengar dan dilupuskan.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memerintahkan Sanjeevan membayar jaminan sebanyak RM35,000 dengan dua penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga rayuan selesai.

Sanjeevan juga perlu melapor diri di Balai Polis Semenyih, Kajang dekat sini setiap minggu sehingga pendengaran kes di Mahkamah Rayuan selesai dan mendapatkan kebenaran Ketua Polis Daerah Kajang sebelum keluar daerah.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan