32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Laungan ‘Welcome to Malaysia’, rakyat gembira, sebak

Susulan pembukaan semula sempadan negara dengan Singapura selepas dua tahun ekoran pandemik Covid-19

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

RIBUAN rakyat Malaysia menangis, gembira dan sebak.

Itulah perasaan yang terpancar dalam kalangan rakyat Malaysia yang pulang melintas sejauh 2.5 kilometer di Tambak Johor secara beramai-ramai tengah malam tadi, apabila pintu sempadan negara mula di buka buat selepas penantian selama hampir dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Tinjauan Edisi 9 dalam media sosial sejak malam semalam mendapati pelbagai rakaman dan video dikongsikan oleh ramai rakyat Malaysia terutamanya yang berada di seberang tambak kerana menantikan detik pembukaan semula Tambak Johor tepat pada pukul 12 tengah malam.

Welcome back” dan “selamat kembali ke Malaysia” antara dilaungkan mereka yang berkumpul di R&F Mall berdekatan dengan Tambak Johor, serta disambut dengan percikan bunga api.

Tambak Johor dan Lebuh Raya Linkedua, yang sepi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali ‘bernyawa’ selepas hampir dua tahun, dengan pembukaan sempadan negara bermula hari ini.

Menerusi beberapa perkongsian oleh pengguna Facebook, memaparkan suasana orang ramai sedang berjalan kaki daripada arah Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Singapura menuju ke Malaysia, serta terdapat juga yang menaiki kenderaan masing-masing untuk pulang.

Sementara itu, ada pengguna lain turut merakamkan perjalanan mereka menempuh kesesakan jalan raya dari Singapura sambil mendengar lagu raya seolah-olah menggambarkan perasaan terlalu gembira untuk kembali bertemu keluarga di Malaysia.

Dalam pada itu, memetik laporan tinjauan Bernama, Mohd Fauzan Hafizi Rosli, 33, yang bekerja sebagai seorang juruteknik di republik itu sejak empat tahun lepas, menitiskan air mata sebaik ditanya mengenai perasaannya dapat kembali ke tanah air.

Pemuda berasal dari Kota Tinggi itu berkata beliau akhirnya dapat melepaskan kerinduan, selepas dua tahun tidak dapat bertemu anak dan isteri.

“Isteri tidak tahu pun saya balik, buat kejutan untuk dia, harap menjadilah kejutan saya ini…sudah lama saya tidak dapat berjumpa keluarga.

“Terima kasih buat kerajaan Malaysia dan Singapura, yang menjayakan pembukaan sempadan ini,” katanya ketika ditemui di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah di sini.

Mohd Fauzan berkata lebih manis lagi, apabila kepulangan rakyat Malaysia bermula hari ini, adalah ketika umat Islam hampir menyambut bulan ramadan.

“Dah dua tahun beraya di negara orang, rasa sebak ada, terharu pun ada…tidak tahu macam mana hendak berjumpa dengan isteri dan anak,” katanya.

Sementara itu, Syazana Yazid meluahkan rasa sebak dan syukur apabila akhirnya kerajaan membenarkan sempadan negara dibuka semula selari dengan peralihan negara ke fasa endemik mulai hari ini.

“Syukur, akhirnya bertemu semula dengan keluarga di Malaysia, hampir dua tahun tahan rasa sakit rindu pada umi dan abah serta adik-adik, hanya Allah sahaja tahu perasaan gembira aku ketika ini,” tulisnya di Facebook hari ini.

Seorang pengguna Twitter, Soraya Laila Nuar berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan dan semua pihak terlibat dalam menjayakan pembukaan sempadan negara ini.

“Terima kasih kerajaan, terima kasih semua, terima kasih bagi kami peluang balik semula ke negara asal, terima kasih tunaikan impian kami untuk sambut Ramadan di Malaysia dengan keluarga. Syukur,” ciapnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menerusi kenyataan bersama memaklumkan, kedua-dua negara bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi mulai 1 April.

Malaysia dan Singapura juga membenarkan pengembara yang telah lengkap vaksinasi, untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19 temasuklah sebelum pelepasan dan semasa ketibaan. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan