32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Kerajaan Pusat tambah baik pemberian kepada negeri – PM

Ini termasuk melonggarkan penggunaan peruntukan Pemberian MARRIS dan menambah caruman Pemberian TAHAP

Mesti Baca

KERAJAAN Persekutuan telah menambah baik pemberian dan sokongan kewangan kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk tahun ini termasuk memberi kelonggaran penggunaan peruntuhan di bawah Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (Pemberian MARRIS) sebanyak RM5 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi membiayai kerja penyenggaraan, pembaikan, penggantian serta pengubahsuaian jalan, jambatan, longkang, pembentung dan cerun di jalan negeri yang rosak akibat banjir termasuk di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau berkata, kelonggaran itu diberikan sebagai keprihatinan kerajaan Persekutuan berhubung situasi yang dihadapi oleh kerajaan negeri pascabanjir Monsun Timur Laut pada akhir tahun lalu dan awal tahun ini.

“Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengkaji semula Pemberian MARRIS supaya peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri melalui memperluaskan lagi skop perbelanjaan MARRIS untuk merangkumi penyelenggaraan jalan seperti yang di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian.

“Sehubungan itu, kerajaan Persekutuan bersedia membuat pindaan garis panduan dan perundangan yang berkaitan untuk meluaskan skop penggunaan Pemberian MARRIS,” kata beliau dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Kewangan Negara 2022 di Putrajaya hari ini.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh kesemua Menteri Besar dan Ketua Menteri. Turut sama, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Mesyuarat Kewangan Negara 2022 di Putrajaya.

Perdana Menteri berkata, selain Pemberian MARRIS, kerajaan Persekutuan juga akan meningkatkan peruntukan Pindahan Fiskal Ekologi (EFT) daripada RM70 juta kepada RM100 juta sebagai insentif khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan baharu untuk dilindungi.

Kata beliau, insentif kewangan itu bagi meningkatkan usaha pemeliharaan serta pemuliharaan kawasan biodiversiti daratan dan marin.

Ismail Sabri berkata, kerajaan Persekutuan juga akan memberikan caruman sebanyak RM330 juta dalam Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP).

“Jawatankuasa akan ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membuat semakan semula formula pengiraan, kriteria dan kaedah pengagihan bagi Pemberian TAHAP.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan keperluan negeri masing-masing,” kata beliau.

Beliau berkata, langkah tersebut bagi memperkukuhkan lagi momentum pemulihan ekonomi Keluarga Malaysia.

Kata Ismail Sabri, kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan kerajaan negeri sentiasa berada dalam tahap yang terbaik.

“Hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada Kerajaan Negeri pada setiap tahun.

“Oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan berharap pemberian-pemberian ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri terutamanya dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan