24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Peratusan jemaah haji luar negara dijangka lebih ramai tahun ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN Arab Saudi menyatakan bahawa peratusan terbesar jemaah haji pada tahun ini bakal terdiri daripada umat Islam dari luar negara, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.

Jurucakap Kementerian Haji dan Umrah, Hisham Saed berkata, jemaah dari semua negara dibenarkan untuk mengerjakan ibadah haji kali ini tanpa sebarang pengecualian.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada jemaah luar negara untuk menunaikan rukun Islam kelima itu, terutamanya selepas dua tahun tidak dapat menunaikan ibadah tersebut disebabkan oleh pandemik COVID-19.

“Kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan umat Islam dari seluruh dunia dan tiada satu pun negara dikecualikan daripada kebenaran untuk menunaikan ibadah haji,” katanya kepada stesen penyiaran Al-Arabiya, memetik laporan Kosmo!.

Hisham menambah, terdapat kuota yang diperuntukkan bagi setiap negara dari segi jumlah jemaah dengan ratio satu kepada seribu jemaah. Ia akan dilaksanakan pada tahun ini berdasarkan keadaan kesihatan mereka.

“Kementerian sedang berusaha untuk menentukan kuota haji  ini bagi setiap negara berdasarkan fakta bahawa Tanah Suci Mekah mempunyai undang-undang dan tempoh waktu yang memerlukan ibadah haji dilakukan pada waktu dan lokasi tertentu,” ujarnya.

Advertisements

Kata Hisham, semua  jemaah haji tahun ini perlu melengkapkan tiga dos vaksin Covid-19. 

Di Arab Saudi, seseorang itu dianggap menerima imunisasi lengkap hanya selepas mendapat tiga dos vaksin.

Minggu lalu, kerajaan Arab Saudi mengumumkan bahawa pihaknya menetapkan kuota musim haji tahun ini merangkumi satu juta jemaah haji domestik dan luar negara.

Turut diumumkan adalah dua peraturan utama yang perlu dipatuhi iaitu jemaah haji perlu berumur bawah 65 tahun dan mesti mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

Selain itu, jemaah dari luar negara perlu mengemukakan keputusan negatif ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi balikan (PCR)  yang dilakukan dalam tempoh 72 jam dari masa berlepas.- Agensi

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan