25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Cubaan warga asing lolos gagal, polis lepas tembakan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CUBAAN seorang warga asing untuk cuba lolos daripada ditahan polis gagal selepas polis
melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dipandu suspek yang cuba merempuh polis di Jalan Sungai Buloh menghala Subang dekat Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, suspek berusia 40 tahun meloloskan diri dengan memecut Proton Wira Aeroback meninggalkan lokasi kejadian sebelum dikejar dan ditahan polis di kawasan Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, suspek ditahan dengan bantuan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Petaling Jaya dan Unit Kereta Peronda (MPV) Polis Sungai Buloh.

“Turut dirampas kereta suspek bagi membantu siasatan. Sebelum itu, anggota polis menahan kereta suspek kerana berada dalam keadaan mencurigakan di Damansara.

“Ketika polis mahu membuat pemeriksaan, suspek memecut kenderaan dan cuba merempuh anggota terbabit. Lelaki itu berjaya melarikan diri dan dikejar kereta peronda polis. Hasil hebahan polis, kita menahan suspek di Shah Alam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujar Ku Mashariman, suspek direman empat hari mengikut Seksyen 307 dan 188 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya, ia berikutan cubaan bunuh polis, ingkar perintah polis ketika ditahan untuk pemeriksaan, melarikan diri dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta perjalanan sah.

Semalam, sebuah video berdurasi seminit 14 saat tular di media sosial memaparkan kejadian sebuah MPV polis mengejar kereta di sebuah kawasan perumahan.

Pemandu kereta itu kemudian dilihat menghentikan kenderaan sebelum keluar berlari dan dikejar polis hingga berjaya ditahan.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan