26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, September 30, 2022

Banjir KL : DBKL diarah atasi segera, guna sumber sedia ada

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan sumber sedia ada dengan kadar segera bagi mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di ibu negara, baru-baru ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata Perdana Menteri mahu dana kecemasan DBKL bagi tujuan itu dioptimumkan.

“Perdana Menteri telah mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan supaya membelanjakan serta-merta peruntukan daripada sumber DBKL dan kerajaan akan membayar balik nanti bagi menyelesaikan masalah banjir kilat,” katanya tanpa mendedahkan jumlah dana yang diperlukan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada program Nur Ramadan di sini, malam tadi.

Shahidan berkata, dana itu akan digunakan bagi menjayakan perangkaan pelan jangka pendek dan jangka panjang.

“Ia termasuk Kajian serta Konsep Mitigasi untuk Banjir Kilat di Kuala Lumpur dalam usaha meminimumkan impak urbanisasi terhadap persekitaran selain mengimbangi aspek sosial, ekonomi dan kesan persekitaran,” katanya.

Baca juga:   SPR akan kenakan SOP ketat PRN Melaka

Ujar beliau, antara pelan itu ialah mengenal pasti lokasi hotspot secara terperinci, mengenal pasti sistem saliran sedia ada yang tidak dapat menampung kapasiti air hujan serta merangka penyelesaian mitigasi konseptual untuk lokasi hotspot banjir.

“Bagi menjalankan kajian ini, DBKL telah melantik IKRAM (Institut Kerja Raya Malaysia) selaku perunding. Kajian ini mengambil masa 12 bulan dan membabitkan lima fasa,” katanya.

Beliau berkata, antara langkah jangka pendek termasuk menempatkan pasukan pemantau di lokasi hotspot dan menempatkan pam mudah alih di kawasan hotspot banjir yang berfungsi memindahkan lebihan air bertakung ke kawasan bersesuaian seperti kolam takungan banjir.

Baca juga:   Banjir kilat: Sebahagian KL bergelap, 40 pencawang TNB ditutup

“Selain itu, pelan jangka pendek lain ialah pembelian lebih banyak pam mudah alih yang akan dilaksanakan serta-merta dan penggunaan beg pasir sebagai langkah mitigasi selain menempatkan 25 pasukan di lapangan bagi proses pembersihan kawasan hotspot banjir bermula esok.

Katanya, pelan jangka panjang pula termasuk membina ‘On Site Detention’ (OSD) bawah tanah untuk menampung lebihan air apabila ‘Flap Gate’ tertutup selain menaik taraf sistem perparitan sedia ada membabitkan lapan projek termasuk di Jalan Jinjang, Sungai Kayu Ara, Sungai Toba dan Segambut Dalam. – Bernama

Terkini

KPDNHEP mula kawal selia pusat rawatan kecantikan

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil langkah proaktif meneliti kepelbagaian aspek industri rawatan kecantikan melibatkan...

Lagi Artikel Berkaitan