30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PM mahu pertubuhan belia pelbagaikan aktiviti tarik keahlian

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa pertubuhan belia di negara ini mempelbagaikan aktiviti sesuai dengan minat golongan tersebut pada masa kini.

Menurut Perdana Menteri, ini bertujuan menarik minat lebih ramai golongan belia menganggotai pertubuhan-pertubuan belia yang ada.

Beliau berkata, pada masa kini jumlah keahlian pertubuhan belia masih rendah iaitu kira-kira 1.2 juta atau mewakili 8 peratus sahaja daripada keseluruhan populasi belia negar.

Malah pertubuhan belia juga, kata Perdana Menteri, perlu mempelbagaikan pendekatan bagi meningkatkan penglibatan mereka ke dalam organisasi belia.

“Penglibatan mereka dalam aktiviti seumpama ini dapat menggalakkan pembudayaan aktiviti yang lebih sihat seperti penyertaan NGO belia dalam menghulur bantuan kepada mangsa bencana banjir di Kedah, Lembah Klang, Johor dan yang terbaharu, di Pantai Timur Semenanjung.

“Program khidmat komuniti dan pascabencana seperti Rakan Muda Day Out & Rakan Muda Prihatin amat memerlukan tenaga sukarelawan muda untuk berkhidmat dengan masyarakat.

“Saya percaya bukanlah penghargaan yang dikejar oleh mereka namun pada malam ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh sukarelawan belia, anda semua adalah wira-wira belia negara,” kata beliau.

Ismail Sabri berucap demikian dalam majlis perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Ke-71 Majlis Belia Malaysia (MBM) di Subang Jaya, Selangor malam ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Mohd Faizal Azumu dan Presiden MBM yang baharu dipilih, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid serta barisan jawatankuasa MBM sesi 2022/2024.

Perdana Menteri berkata, MBM sebagai badan induk pertubuhan belia yang amat besar peranannya dalam membantu kerajaan membangunkan
belia Keluarga Malaysia di seluruh negara.

Sehubungan itu beliau yakin, MBM yang mewakili suara anak-anak muda, sememangnya dekat dan peka kepada kehendak belia untuk bergerak bersama Kerajaan ke arah meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Saya yakin MBM dan badan gabungannya mampu membantu kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif intervensi sosial menerusi program-program dan aktiviti-aktiviti pembangunan untuk kesejahteraan belia dan seluruh Keluarga Malaysia bagi tahun 2022.

“Dengan kreativiti dan pendekatan Dari Belia Untuk Belia, pastinya pelbagai aktiviti yang menepati jiwa anak muda dapat dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, bermula tahun ini, beliau berhasrat agar penganjuran majlis penyampaian anugerah sempena Hari Belia Negara menjadi majlis yang amat berprestij dan diingati oleh golongan belia.

Sehubungan itu, beliau mahukan agar Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) yang disampaikan setiap tahun sempena Hari Belia Negara itu dipelbagaikan berdasarkan model baharu pembangunan belia.

Beliau berkata, antaranya ialah anugerah Ikon Karismatik (Kepimpinan), Ikon Kelestarian Alam (Alam Sekitar), Ikon Reka Tekno (Inovasi & Teknologi), Ikon Youth – Biz (Keusahawanan), Ikon Sanjungan Budi (Pembangunan Masyarakat), Ikon Belia Cekal (Belia OKU) dan Ikon Influencer Karakteristik (Belia Berpengaruh).

“Saya berharap majlis penganjuran Anugerah Perdana Belia Negara ini dapat turut disertai oleh sektor korporat sebagai rakan strategik,” katanya.

Pada majlis itu Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada MBM bagi membolehkan pertubuhan itu menjalankan aktivitinya dengan lebih agresif. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan