26.1 C
Kuala Lumpur
Friday, March 31, 2023

MOTAC sedia sambut pelancong luar negara

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersedia menyambut kehadiran pelancong dari luar negara sebaik sahaja pintu sempadan negara dibuka.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pemain industri pelancongan sudah bersedia dan hanya menunggu pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dibuat dalam masa terdekat.

Menurut beliau, pengumuman yang dibuat itu diharap melibatkan semua pintu sempadan di seluruh negara.

“Kita di pihak kementerian dan pemain industri sudah bersedia sepenuhnya menunggu detik pembukaan sempadan yang akan diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

“Kita berharap pengumuman yang dibuat itu melibatkan semua pintu sempadan di seluruh negara termasuk pintu sempadan di negeri ini,” katanya selepas Majlis MOTAC Bersama Penggiat Industri dan Program Bicara Ilmu di Johor Baharu, hari ini.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, mesyuarat Kabinet semalam sudah mencapai kata persetujuan berhubung perkara itu dan cuma menunggu untuk diumumkan Perdana Menteri sahaja.

Baca juga:   Tambah petugas Imigresen di KLIA – MOTAC

Sementara itu pada program tersebut, Nancy menyampaikan bantuan khas kewangan 2022 kepada 30 buah syarikat serta 10 pengusaha inap desa.

Penerima adalah terdiri daripada Pemandu Pelancong, Agensi Pelancongan dan Pengembaraan (TOBTAB), Syarikat Malaysia My Second Home (MM2H), Spa serta Pusat Urut Kaki (PUK) dan Pengusaha Program Pengalaman Homestay Malaysia.

Nancy berkata, bantuan yang diberikan itu bagi menggalakkan sektor pelancongan domestik untuk terus berdaya saing.

Baca juga:   Muzium 3D Kertih kembali dibuka, tambah tarikan baharu

Selain itu menerusi hantaran di Facebook MOTAC, Program Bicara Ilmu itu adalah usaha kementerian berkenaan dalam mendekatkan diri dengan penggiat industri pelancongan, seni dan budaya di Negeri Johor.

Turut dilancarkan ialah Kempen Jom Balik Kampung Homestay Malaysia anjuran Tourism Malaysia, selaras dengan pelancaran portal jomhomestay.com yang telah disempurnakan pada 27 November 2021.

Menurut kenyataan berkenaan, kempen itu bertujuan untuk memperluaskan promosi dalam kalangan rakyat Malaysia untuk memilih inap desa sebagai destinasi pelancongan serta penginapan alternatif selain hotel.

“Kempen ini juga bagi membantu pengusaha inap desa termasuk golongan belia dalam menghasilkan pakej-pakej menarik serta mengetengahkan produk-produk tempatan melalui media sosial,” kongsinya.

-EDISI9

Wartawan

Terkini

4 beradik maut dalam kebakaran dikebumi satu liang

JENAZAH empat beradik yang maut dalam kejadian kebakaran di Kampung Sabak Awor, Muar malam semalam, selamat dikebumikan dalam satu...

Lagi Artikel Berkaitan