30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Malaysia iktiraf sijil vaksinasi Vietnam

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN bersetuju untuk mengiktiraf sijil vaksinasi Vietnam yang merupakan satu daripada inisiatif kerjasama baharu antara Malaysia dan negara tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut dimaklumkan beliau kepada rakan sejawatnya dari Vietnam, Pham Minh Chinh ketika mereka mengadakan pertemuan di Hanoi, Vietnam semalam.

Beliau berkata, pengiktirafan sijil vaksinasi Covid-19 Vietnam itu merupakan timbal balas kepada langkah negara tersebut mengiktiraf sijil vaksinasi Malaysia (MySejahtera) pada Ogos tahun lalu.

“Ini merupakan hala tuju yang kita telah tetapkan berhubung isu ini. Keputusan ini bukan sahaja berdasarkan kepada amalan timbal balas, tetapi juga mengambil kira yang Vietnam turut menggunakan jenis-jenis vaksin Covid-19 yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sepertimana yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia.

“Di samping itu, kedua-dua negara bersetuju mengadakan integrasi aplikasi MySejahtera Malaysia dengan PC Covid Vietnam,” katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia di Hanoi, hari ini.

Hadir sama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Vietnam telah mengemukakan permintaan bekalan petroleum dan gas tambahan dari Malaysia.

Dalam hal ini, katanya, dengan mengambil kira kerjasama antara baik Malaysia dan Vietnam serta kepentingan industri petroleum dan gas negara, kerajaan telah bersetuju sebagai langkah permulaan untuk membekalkan 300,000 tong petroleum (RON95) kepada Vietnam.

“Vietnam menyatakan minat untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam membangunkan industri Halal mereka.

“Malaysia sedia menawarkan kepakaran dan khidmat nasihat kepada Vietnam, termasuk syarikat-syarikat Vietnam yang berminat. Kerjasama ini telah pun bermula,” katanya.

Dalam hal ini, ujar Ismal Sabri, Azmin akan memastikan Halal Development Corporation (HDC) Malaysia mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.

“Saya secara spesifik membangkitkan potensi kerjasama halal dengan Vietnam dalam peluang membekalkan makanan halal semasa Sukan SEA 2021 yang akan dihoskan oleh Vietnam pada bulan Mei ini.

“Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia menawarkan produk-produk perbankan Islam untuk mempromosikan dan mengembangkan ekosistem industri halal di Vietnam,” katanya. 

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan