26.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Malaysia beralih Fasa Peralihan ke Endemik mulai 1 April

Orang ramai boleh makan di kedai makan selepas 12 tengah malam, penjarakan sosial solat jemaah di masjid/surau dimansuh

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

MALAYSIA akan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik serta pembukaan semula sempadan negara sepenuhnya mulai 1 April ini, umum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Menurut beliau, fasa tersebut adalah exit strategy (jalan keluar) untuk membolehkan semua rakyat kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun berperang dengan COVID-19.

Beliau berkata, fasa ini juga merupakan fasa sementara sebelum negara beralih ke Fasa Endemik yang mana ia tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“… setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet, hari ini saya ingin mengumumkan bahawa negara akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula 1 April 2022,” kata beliau dalam sidang media khas di Parlimen, hari ini.

Hadir sama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dengan pengumuman tersebut, Perdana Menteri berkata, beberapa prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang dilaksanakan sebelum ini akan dimansuhkan antaranya had waktu operasi bagi premis perniagaan.

Beliau berkata, peniaga boleh menjalankan operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen manakala orang ramai pula boleh makan di kedai atau warung selepas 12 tengah malam, terutama pada bulan Ramadan bagi tujuan bersahur.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, aktiviti solat jemaah di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid/surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan untuk rumah ibadat selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia atau Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR),” kata beliau.

Perdana Menteri juga berkata, bagi keperluan vaksinasi, had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan dan semua individu dibenar merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Advertisements

Kata beliau, dengan pengumuman peralihan ke endemik juga kapasiti 50 peratus bagi aktiviti berkumpulan turut dimansuhkan secara menyeluruh namun penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menekankan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu.

“Pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera masih diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.

“Tambahan juga, MYSJTrace diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu atau pengunjung,” kata Perdana Menteri.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, walaupun jumlah kes harian COVID-19 meningkat secara mendadak sejak beberapa minggu ini berikutan gelombang Omicron, namun jumlah pesakit kategori 3, 4 dan 5 amat rendah iaitu 0.7 peratus.

Manakala jumlah pesakit COVID-19 yang perlu mendapatkan rawatan serta pemantauan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga terkawal buat masa ini iaitu pada kadar 42 peratus penggunaan.

Katanya, pada masa yang sama, sebahagian besar ahli Keluarga Malaysia telah menerima vaksinasi lengkap serta dos penggalak menerusi program-program vaksinasi khususnya Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan (PICK), PICK Remaja dan PICKids.

“Sehingga 7 Mac 2022, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa di dalam negara ialah 98.7 peratus manakala kadar vaksinasi dos penggalak bagi populasi dewasa ialah 64 peratus,” jelas beliau.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, perancangan pembukaan semula negara secara selamat dan berperingkat atau ReopeningSafely yang diusahakan kerajaan masih berjalan dengan lancar. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tiga wanita antara terkorban nahas helikopter TLDM di Lumut

TIGA wanita yang menjadi penumpang helikopter HOM antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan