34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Peralihan ke endemik: Sempadan negara dibuka semula – PM

Rakyat negara luar juga boleh keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan.

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini turut mengumumkan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini susulan kejayaan Malaysia memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.

Menurut Perdana Menteri, langkah itu dijangka dapat merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Saya percaya, ini antara pengumuman besar yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat,” kata beliau dalam sidang media khas di Parlimen hari ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan membuka semula sempadan negara berasaskan tiga perkara iaitu berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain serta memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan mereka.

Kata beliau, apa yang paling penting, Malaysia sekarang adalah destinasi terbuka dan boleh dikunjungi oleh semua.

Perdana Menteri berkata, dengan pembukaan semula sempadan negara, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada
pengembara luar.

Pada masa yang sama, jelas beliau, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan.

Sebaliknya, hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form (borang keberangkatan) melalui fungsi ‘Traveller‘ dalam MySejahtera,” kata Perdana Menteri.

“Walau bagaimanapun, mengambil kira situasi penularan COVID-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda negara kita dan kebanyakan negara di seluruh dunia, terdapat beberapa prosedur yang wajib dipatuhi sama ada rakyat Malaysia sendiri mahupun pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia,” kata beliau.

Advertisements

Ismail Sabri berkata, bagi mereka yang telah menerima vaksinasi lengkap, tiada keperluan untuk menjalani sebarang tempoh kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepasserta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

Bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi pula, beliau berkata, Menteri Kesihatan akan memperincikan prosedurnya untuk makluman umum esok.

Katanya, kementerian yang berkaitan juga akan mengeluarkan senarai SOP pembukaan sempadan negara ini secara lebih terperinci dalam waktu terdekat terutama berhubung prosedur di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di darat dan laut.

“Dalam pada itu, saya juga ingin memaklumkan, bagi negara yang masih menutup pintu sempadannya, rakyat masih boleh memanfaatkan kaedah Vaccinated Travel Lane (VTL) yang telah dipersetujui kerajaan Malaysia dengan negara-negara yang terbabit.

“Seperti ramai sedia maklum, buat masa ini VTL telah dimanfaatkan dengan Singapura sejak tahun lalu.

“Dalam masa terdekat pula, seperti saya umumkan baru-baru ini, VTL turut dimanfaatkan untuk melaksanakan pergerakan keluar masuk antara Malaysia-Thailand, Malaysia-Brunei dan Malaysia-Indonesia,” jelas beliau.

Perdana Menteri berharap pembukaan semula sempadan negara dapat dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan demi keselamatan diri, orang sekeliling serta negara secara keseluruhannya.

“Bagi pihak Kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan
kepada seluruh ahli Keluarga Malaysia yang cekal, tabah, kuat semangat dan berdisiplin dalam mematuhi SOP serta menyokong setiap inisiatif Kerajaan dalam memerangi COVID-19.

“Tanpa sumbangan Keluarga Malaysia, negara tidak akan boleh beralih ke
Fasa Peralihan Ke Endemik,” kata beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan