TINDAKAN pendek akal seorang bapa mempamerkan aksi merbahaya menunggang motosikal sambil membawa anak mendapat balasan setimpal apabila ditangkap sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abd Wahid berkata, pihaknya menerima video tular berdurasi 36 saat berkenaan membabitkan seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersama seorang kanak-kanak perempuan yang membonceng di hadapan motosikal.
Menurutnya, lelaki tersebut membuat aksi ‘wheelie’ dengan cara mengangkat tayar hadapan motosikal.
“Aksi berkenaan telah dilakukan di Jalan Bukit Impian 1, Taman Impian Emas, Skudai, Johor. Tujuan aksi tersebut dibuat adalah untuk menarik perhatian warganet.
“Aksi tersebut dirakam sendiri oleh suspek dengan menggunakan talefon bimbitnya dengan pertolongan rakan sebelum dimuat naik dalam laman Facebooknya iaitu Hafiz Sim pada 15 Februari pukul 7 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rupiah berkata, susulan tindakan suspek itu, tiga saman telah dikeluarkan antaranya nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi (Seksyen 14 (4) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987), cukai jalan tamat tempoh (Seksyen 15 (1) APJ 1987), dan tidak memakai topi keledar.
Menurutnya, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan barang kes juga telah dirampas.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42 APJ 1987,” katanya.
Sejak semalam tular di media sosial Facebook aksi seorang lelaki sambil membonceng anaknya yang memakai telekung melakukan aksi merbahaya.
Video berkenaan mendapat kecaman warganet kerana mengundang risiko buat si anak yang tidak memakai topi keledar serta dibonceng dalam keadaan bahaya.
-EDISI9