Thursday, June 4, 2026

Tarikh PRN Johor diputuskan esok – SPR

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TARIKH Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-15 akan diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu mesyuarat khas yang akan diadakan esok.

SPR dalam nota kepada pengarang media memaklumkan, satu sidang akhbar akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dijangka pada pukul 12.30 tengah hari.

Mesyuarat berkenaan berlangsung di Persada Johor, Johor Bharu bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Johor.

Ia meliputi perkara seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

SPR sebelum ini secara rasminya menerima notis daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 pada 23 Januari lalu.

PRN Johor diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) berkuatkuasa 22 Januari lalu.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad mengambil langkah membubarkan DUN dalam usaha menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di negeri itu.

Pembubaran itu adalah sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN tersebut.- Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan