JUMLAH penggunaan katil bagi Unit Rawatan Rapi (ICU) kes COVID-19 di Johor mencapai 70 peratus, sekali gus yang tertinggi di negara ini setakat semalam.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula mencapai 65 peratus penggunaan manakaka Melaka 50 peratus.
Ketua Pengarahan Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi penggunaan katil bukan ICU, sembilan negeri menunjukkan penggunaan melebihi 50 peratus.
“Ia termasuk Selangor (104 peratus), Perlis (101 peratus), Kelantan (96 peratus), Perak (91 peratus), Putrajaya (82 peratus), Johor (82 peratus), Sabah (79 peratus), Kuala Lumpur (77 peratus) dan Pulau Pinang (50 peratus).
“Manakala bagi penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), enam negeri melebihi 50 peratus iaitu Selangor (74 peratus), Perak (58 peratus), Terengganu (58 peratus), Sabah (57 peratus), Melaka (53 peratus), dan Kelantan (50 peratus).
“Pesakit COVID-19 yang kini memerlukan alat bantuan pernafasan pula meningkat kepada 139 namun peratusan penggunaan ventilator secara keseluruhan adalah sebanyak 36 peratus.
“Secara keseluruhannya, KKM mendapati kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes COVID-19 dan bukan COVID-19.
“Namun begitu, setiap negeri telah bersiapsiaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat perbezaan di antara data harian kemasukan kes COVID-19 ke hospital berbanding kes COVID-19 kategori 1 sehingga 5 yang baharu didiagnosa pada setiap hari.
“Ini memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti COVID-19.
“Misalnya, semasa didiagnosa, mungkin pesakit tersebut berada pada kategori 2A dan diisolasi di rumah melalui Home Surveilance Order (HSO) digital, namun status kesihatan pesakit boleh merosot ke kategori tiga atau lebih dan memerlukan kemasukan ke hospital.
“Pada masa yang sama, terdapat juga kes-kes COVID-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga,”katanya.