24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Penagih dadah didakwa bunuh 4 beranak dalam kemalangan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG penagih dadah yang menyebabkan empat sekeluarga maut dalam kemalangan tragis di Bentong, Pahang 28 Januari lalu didakwa di Mahkamah Majistret Bentong hari ini atas enam pertuduhan empat daripadanya tuduhan membunuh.

Tertuduh Ahmad Fuad Mohd. Salleh, 44, yang memandu Nissan Navara ketika kejadian menyatakan faham selepas empat pertuduhan membunuh dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim.

Bagi pertuduhan berkaitan dadah pula tertuduh yang kelihatan tenang dan tersenyum mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Tertuduh yang berasal dari Lipis dan bekerja sebagai penternak ikan dituduh atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mengikut empat kertas pertuduhan berkenaan pada kira-kira pukul 2.30 petang pada 28 Januari lalu di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga di Bentong tertuduh didapati membunuh empat mangsa iaitu Raihan Mohamad, 43; Ahda Dalili Mohd. Nazri,14; Ahmad Muaz Mohd. Nazri,7 dan Ahda Imtinan Mohd. Nazri,5.

Keadaan Toyota Velfire selepas terlibat kemalangan dengan Nissan Navara di Bentong, Pahang. – Sumber: Media sosial

Bagi pertuduhan kelima pula tertuduh didakwa pada pukul 12.05 tengah malam 29 Januari lalu di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong didapati menggunakan dadah berbahaya jenis methamphatamine dengan cara yang salah.

Bagi kesalahan ini tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) ADB yang dibaca bersama Seksyen 38 B ADB.

Advertisements

Dalam pertuduhan keenam pula tertuduh didakwa pada 11.45 pagi 28 Januari lalu di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga di Bentong memiliki 0.75 gram methamphetamine dan didakwa di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) ADB 1952.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Punitha manakala tertuduh diwakili peguam Farah Idayu Nusi.

Edisi9 29 Januari lalu, melaporkan kemalangan yang mengorbankan nyawa empat sekeluarga di simpang empat Kampung Lebu berhampiran susur ke Lebuh Raya CSR di Bentong, Pahang, rupa-rupanya angkara dirempuh pemandu di bawah pengaruh dadah.

Difahamkan, polis turut menemukan tiub straw lutsinar pada pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit dipercayai dadah jenis syabu.

Suami Raihan yang juga pemandu Toyota Vellfire, Mohd. Nazri Hamid, 43, guru di Gua Musang, Kelantan mengalami kecederaan dan patah tangan kiri.

Sementara tertuduh hanya mengalami kecederaan di bahagian kepala.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan