SEMUA institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan digalak menjayakan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) bagi membantu mahasiswa daripada golongan B40.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata selain tujuh universiti rintis program berkenaan, IPT lain disaran untuk turut serta melaksanakannya.
Beliau berkata, matlamat program itu sangat baik, justeru lebih banyak IPT yang melaksanakannya, lebih ramai siswa B40 yang akan mendapat manfaatnya.
Katanya, ketika ini Malaysia mempunyai 20 universiti awam, 36 politeknik, 104 kolej komuniti dan lebih 400 IPT swasta, jadi sekiranya lebih banyak IPT menjayakan program ini, lebih besar impaknya kepada pendidikan tinggi tempatan.
“Program cetusan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ini sangat signifikan kepada pembangunan pendidikan dan ekonomi di negara ini kerana mampu mengubah landskap kehidupan siswa B40 serta keluarga mereka.
“Semoga dengan inisiatif ini, imej pendidikan tinggi kita akan melonjak serta menjadi rujukan kepada di peringkat global pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Buat permulaan, program yang diletakkan di bawah strategi ketujuh dalam Amanat Tahun 2022 Menteri iaitu Menyemarak Semangat #KPTPrihatin itu akan dilaksanakan di Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Sabah.
Mahasiswa B40 yang terpilih mengikuti program ini bukan hanya dibantu masuk dan belajar di peringkat pengajian tinggi, malah golongan itu akan turut diberi biasiswa, kemudahan dan motivasi sehingga membantu mereka mendapatkan pekerjaan selepas bergraduat.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, antara objektif lain program itu ialah membangunkan potensi anak atau ahli keluarga yang pertama menjejakkan kaki ke menara gading.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Sulung akan menjadi pemangkin pada peningkatan pendapatan keluarga melalui kebolehpasaran kerja dan keusahawanan seterusnya meningkatkan taraf hidup B40 dengan membantu golongan ini keluar dari kelompok B40,” katanya. – Edisi 9