29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

KLIA dinobat penyedia perkhidmatan terbaik dunia

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berada di kedudukan pertama dengan mendapat skor sempurna 5.00 dalam kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) bagi suku keempat 2021.

Kedudukan itu dicapai bersama sembilan lapangan terbang antarabangsa lain dalam kategori sama, iaitu lebih 40 juta penumpang setahun.

Malaysia Airports dalam kenyataannya berkata, keputusan itu diumumkan baru-baru ini oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI), yang bertanggungjawab memberi penanda aras kepada lapangan terbang terbaik dunia dari segi kepuasan keseluruhan penumpang bagi keselamatan, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan terminal.

Dengan pencapaian terkini KLIA itu, sekaligus memberikan jaminan tambahan kepada penumpang terhadap komitmen berterusan lapangan terbang berkenaan untuk meningkatkan perkhidmatan, di sebalik prosedur operasi standard (SOP) perjalanan yang ketat bagi membendung pandemik COVID-19.

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata beberapa bulan yang lalu menyaksikan pergerakan penumpang meningkat secara mendadak.

“Dengan peningkatan ini, kami perlu memastikan bahawa standard perkhidmatan di lapangan terbang secara konsisten dikekalkan.

“Tempoh yang senggang sebelum ini membolehkan kami melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan dan skor ASQ yang sempurna ini adalah bukti usaha yang dilakukan oleh seluruh komuniti lapangan terbang.

“Untuk diletakkan di kedudukan pertama bersama lapangan terbang global lain juga adalah satu penghormatan buat negara ini. Kami bersedia untuk menyambut pengembara sebaik saja sekatan perjalanan antarabangsa ditamatkan.

“Sebagai contoh, kami secara konsisten mencapai skor sempurna 5.00 bagi elemen ASQ ‘berasa selamat dan terjamin’ pada 2021,” katanya.

Bulan lalu, Malaysia Airports merekodkan sejumlah 2.7 juta pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang tempatannya, manakala aset di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) mencatatkan pergerakan dua juta penumpang.

Walaupun ketika ini perjalanan antarabangsa masih terhad, prestasi trafik penumpang Malaysia Airports dipacu oleh perjalanan domestik.

Bagi Malaysia, trafik domestik direkodkan pada 2.5 juta penumpang bulan lalu, 90 peratus daripada jumlah pergerakan keseluruhan penumpang di negara ini.

Industri penerbangan Malaysia juga kekal positif apabila bulan lalu menyaksikan ketibaan sebuah syarikat penerbangan baharu dan penambahan beberapa laluan penerbangan lagi.- Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan