31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Jangan tengok pada bilangan kes – Khairy

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

“JANGAN tengok bilangan kes, kena tengok keseriusan sehingga kita minta laksanakan sekatan pergerakan (sebelum ini),” kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, berdasarkan kes sekarang, 99 peratus bergejala ringan dan kategori satu, hanya 0.5 peratus kategori empat dan lima dan mereka sudah mendapatkan rawatan.

“Ini dapat diatasi dengan baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Berskala Besar Pembedahan Urologi (MUSI) di Hospital Selayang, hari ini, lapor BH Online.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangka ada peningkatan kemasukan ke hospital, sekali gus terus memantau serta memberikan butiran perkembangan kes setiap hari.

Khairy turut menjelaskan, peningkatan jangkitan harian yang melebihi 20,000 kes hari ini berbeza dengan kes yang dicatatkan pada Ogos tahun lalu dan KKM tidak panik dengan angka itu kerana melihat kepada tahap keseriusan jangkitan.

“Kali terakhir kes jangkitan melebihi 20,000 adalah pada 11 Ogos 2021 yang mana 1,547 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dengan 332 kematian berbanding hari ini hanya 158 di ICU dan 10 kematian.

“Kita percaya liputan vaksinasi dan kesan gejala tidak teruk serta kadar kematian tidak tinggi, malah tempoh rawatan lebih singkat,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan mengambil langkah berhati-hati dan cermat sebelum mengisytiharkan negara beralih ke fasa endemik seperti dilaksanakan beberapa negara.

Katanya, Malaysia memantau perkembangan negara seperti Sweden dan Denmark yang sudah mengisytiharkan peralihan fasa dan COVID-19 bukan lagi ancaman kesihatan.

“Secara peribadi, saya berpendapat tindakan Denmark itu terlalu awal sedang ketika ini kes Omicron masih menular.

“Saya dan Tan Sri Ketua Pengarah (Noor Hisham) konservatif dalam hal ini, ada kata kami sangat konservatif, (namun) bagi kami, lebih baik bertindak berhati-hati berbanding menyesal di kemudian hari.

“Kita kena tengok gelombang Omicron di hospital kita yang mana ketika ini 99 peratus ada gejala ringan, tapi kita teruskan pendekatan tak perlu ikut Sweden atau Denmark,” katanya.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan