30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

GITC ditubuhkan terajui pembangunan TVET negara

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BUAT julung kalinya kerajaan menubuhkan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) yang diterajui industri terlibat secara langsung dalam pembangunan modal insan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara.

Keanggotaan GITC itu terdiri daripada 12 persatuan berdasarkan sektor
industri yang bersetuju bersama-sama berganding bahu menjayakan
agenda TVET negara melalui GITC.

Perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat Majlis TVET Negara  (MTVET) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara telesidang, hari ini.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri 13 menteri, tokoh industri termasuk dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, ahli akademik dan wakil pelajar.

Menurut Perdana Menteri, mesyuarat juga bersetuju dengan pelaksanaan TVET Collaboration Hub, melibatkan 11 kementerian dan diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. 

Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara hari ini.

“Inisiatif ini bakal menjadi platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi-institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri. 

“Sejumlah 12 hab dikenal pasti termasuk automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan yang akan dilaksanakan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat berkenaan bersetuju secara dasar dengan cadangan penarafan tunggal TVET, namun, proses libat urus bersama kementerian serta industri perlu dilaksanakan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat MTVET akan datang.

Jelas beliau, inisiatif ini dijangka memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak-pihak yang terlibat untuk merapatkan jurang di antara permintaan dan penawaran tenaga kerja. 

“Usaha-usaha yang dilaksanakan MTVET amat signifikan bagi merealisasikan strategi dan inisiatif yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Di bawah Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk memperkasa TVET melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan. 

“Inisiatif-inisiatif ini bakal menyediakan graduan yang menepati keperluan industri, meningkatkan kualiti institusi TVET, memperkukuh penawaran program berorientasikan industri dan memperhebat keterlibatan aktif industri,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sudah tiba masanya TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri untuk masa depan kerana TVET telah terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan. 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kata beliau, diminta membuat pendedahan awal sistem pendidikan TVET kepada pelajar Tingkatan 1, agar mereka boleh membuat pilihan bersesuaian dengan kecenderungan mereka. 

Beliau memberitahu, sehingga kini, terdapat 1,295 penyedia TVET awam dan swasta yang  merentasi 11 kementerian termasuk 22 institusi TVET kerajaan negeri di seluruh Malaysia, yang menyediakan pengajian peringkat sijil dan diploma. 

“Kerajaan kini mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam di Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka  (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti  Malaysia Pahang (UMP). 

“Elemen-elemen ini berupaya menjadikan seseorang belia lebih berdikari dan mampu menyesuaikan diri dalam suasana kerjaya mencabar,” katanya. 

Menyedari kepentingan TVET, jelas Perdana Menteri, mesyuarat turut bersetuju agar kempen, promosi dan penjenamaan semula dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi yang mengatakan TVET adalah pendidikan kelas kedua dan sudah tidak relevan lagi.  

“Melalui TVET diharapkan dijadikan pilihan setara dengan akademik, sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan sepertimana negara maju yang lain,”katanya.- Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan